Mohd Rafiq letak jawatan selepas kalah PRN Melaka

Oleh ARIF ATAN

Berkuat kuasa serta merta, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.

Naib Presiden Bersatu berkenaan memberitahu peletakan jawatan itu bagi memberi peluang kepada kepemimpinan baharu mengetuai Bersatu Melaka dan PN negeri supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya ingin memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta merta.

“Surat rasmi peletakan jawatan saya akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu dan Pengerusi PN esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu, Mohd Rafiq kecundang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Dia mendapat 3,976 undi manakala pencabarnya Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dari BN menang dengan jumlah 6,052 undi manakala Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (3,891 undi) dan Arif Adly Mohammad 153 undi.

Pada PRU-14 2018, Mohd Rafiq menang di DUN Paya Rumput dalam saingan lima penjuru dengan majoriti besar 4,259 undi atas tiket PH ketika itu.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata peletakan jawatan itu membolehkannya memberi tumpuan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Di samping itu, katanya bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15.

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka,” tambahnya lagi.