Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata, kerajaan negeri optimis menuntut lebih RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat berhubung nilai pampasan pengekalan hutan seperti pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, walaupun belum mengadakan perbincangan mengenainya dengan mana-mana pihak khususnya Jabatan Perhutanan negeri, peletakan nilai itu dibuat berpandukan kepada nilai tuntutan yang dibuat oleh kerajaan Kedah.
“Kita belum lagi buat perkiraan namun kalau Kedah minta RM100 juta, Perak (mesti) lagi tinggi daripada itu. Bagaimanapun kita tidak akan menuntut perkara yang pelik-peliklah kerana ia (bayaran pampasan) juga tertakluk kepada kemampuan dan persetujuan Kerajaan Persekutuan.
“Atas sebab pengurusan hutan itu kita terlepas peluang untuk menjana pendapatan yang mana kita tak boleh tebang balak, aktiviti kuari, dan melombong kerana hendak jaga hutan simpan ini. Jadi Kerajaan Persekutuan kena bayar baliklah,” dipetik BH hari ini.
Saarani berkata demikian pada sidang media Program Penghijauan Malaysia peringkat Perak: Penanaman Pokok ke dua juta di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U), di sini, hari ini.
Pengerusi Umno dan BN Perak itu berkata, kerajaan Perak meluluskan 139.21 hektar tanah di Bagan Datuk, Daerah Hutan Perak Selatan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) jenis paya laut yang khusus bagi penanaman pokok bakau.
Katanya, kelulusan itu diberikan menerusi Mesyuarat Exco pada 15 September lalu.
Beliau berkata keluasan itu termasuk keseluruhan kawasan yang dicadangkan untuk warta masuk HSK di seluruh Perak, sejak Oktober 2018 membabitkan keluasan 1,741.2 hektar.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri sudah lulus cadangan 1,741.2 hektar HSK baharu seluruh Perak yang mana ia termasuk Hutan Paya di Bagan Datuk, Daerah Hutan Perak Selatan seluas 139.21 hektar.
“Peringkat sekarang adalah tinggal hendak sukat,” tambahnya lagi.