Kes projek terowong dasar laut: Nazri akui terima sumbangan daripada kontraktor

Oleh ARIF ATAN

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui menerima sumbangan daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang juga kontraktor projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Menurut Ahli Parlimen BN Padang Rengas itu, sumbangan tersebut bagi pembinaan sekolah agama di Pattani, selatan Thailand.

Beliau memberitahu perkara tersebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim Guan Eng pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Menjawab soalan Gobind sama ada beliau menerima apa-apa bayaran untuk projek terowong ini, Nazri menjawab ‘tidak.’

Saksi berkenaan turut menafikan beliau ada menerima wang RM500,000 daripada Zarul Ahmad, lapor Bernama.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, Zarul Ahmad mempunyai pengetahuan bahawa sumbangan itu untuk pembinaan sekolah agama di Pattani.

Disoal Wan Shaharuddin sama ada sumbangan itu berbentuk sedekah, Nazri berkata, beliau membabitkan diri untuk mendapatkan sumbangan membina sekolah di selatan Thailand sejak tahun 1990-an.

“Saya berasal dari Hulu Perak, saya orang Melayu berketurunan Pattani. Saya melawat Pattani sejak 1975, terdapat banyak sekolah pondok daif, maka bermula tahun 1990-an, saya membabitkan diri untuk mendapatkan sumbangan membina sekolah di selatan Thailand,” katanya.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Setiausaha Agung DAP itu didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.