Pasal Grab lagi: Di antara keuntungan dan nilai perusahaan

Oleh BORHAN AHMAD

Semalam saya bertemu dengan 2 orang warga China yang menetap di Malaysia. Seorang tu pernah membangunkan aplikasi dan menjualnya kepada syarikat gergasi di China. Seorang lagi adalah pengusaha perkhidmatan pelancongan.

Di antara apa yang dibincangkan ialah bagaimana nilai perusahaan (enterprise value) perniagaan seperti Grab dikira. Ianya tidak bergantung kepada untung/rugi sekarang ini tetapi bergantung, di antaranya, kepada jumlah data pelanggan yang ada, nilai transaksi dan juga keupayaan perniagaan mempromosi produk dan perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Mungkin disebabkan kaedah inilah, walaupun Grab masih belum membuat keuntungan namun nilainya sudah mencapai USD40 billion.

Sekarang dah turun sedikit tetapi nilainya masih besar berbanding dengan kerugian operasi yang masih ditanggung oleh Grab.

Bayangkan syarikat-syarikat seperti Facebook dan Twitter. Mereka berikan kita platfom untuk berbalah dan mengumpat dengan percuma. Mereka dapat data kita dan akhirnya nilai perusahaan mereka menjadi tinggi manakala kita menjadi semakin tidak beradab.

Jadi mungkin selepas ini kita kena perhatikan AirAsia pula. Walaupun industri penerbangan belum pulih dan syarikat ini mengalami kerugian operasi, ia sudah ada AirAsia Digital. Oleh kerana AirAsia ada jejak (foot print) yang besar di Asia, nilainya mungkin lebih besar dari perniagaan penerbangannya.

Ini satu perkara yang penting untuk difahami oleh usahawan. Di samping membentuk strategi yang menjadikan perniagaan untung dengan mampan, ada satu lagi perkara yang kena diberikan perhatian juga, pembinaan nilai perusahaan seperti yang disebutkan di atas.

Ramai usahawan yang membina perniagaan dengan niat mahu kekal di dalam perniagaan berkenaan. Namun satu pilihan yang ada ialah menjual perniagaan yang berdaya maju bagi membuka kunci nilai perusahaannya (unlocking its enterprise value).

Jika perniagaan masih rugi tetapi ada orang nak bayar dengan nilai yang besar kerana potensinya, mengapa sayang nak jual?

Walau bagaimana pun, kaedah penilaian ini bergantung kepada pihak yang menilailah. Omputih kata “value is in the eyes of the beholder”. Secara am, di Malaysia, aliran tunai masa hadapan masih lagi dijadikan asas menilaian.

Mungkin ada pemain modal teroka yang sanggup membayar berdasarkan potensi data. Namun, mereka kena bawa perniagaan yang mereka beli ke pasaran yang sanggup membayar dengan harga yang lebih tinggi di luar negara.

Berbalik kepada perbualan saya dengan warga China semalam, kita mungkin ada peluang disebabkan perubahan polisi di China sekarang. Kerajaannya nampaknya tidak begitu suka syarikat-syarikat China seperti Alibaba menjadi besar dan menyenaraikan saham mereka di Amerika.

Sudah banyak tindakan yang dilakukan ke atas beberapa syarikat teknologi di China yang disenaraikan di luar negara. Jadi, kini ada banyak modal dan teknologi dari China yang mencari destinasi baharu untuk membangunkan perniagaan sebagai perniagaan luar China.

Mungkin orang yang suka bergaduh dengan orang China dan selalu menghalau orang China keluar akan terlepaslah peluang ?.

Kita kena keluar dari kotak pengguna kepada kotak pencipta produk dan perkhidmatan. Jika ada peluang untuk bekerjasama dengan orang-orang luar, itu kena dicekup dengan cepat.

Tentunya kita pun kena ada nilai yang mereka nampak, jika tidak mengapa mereka perlu mencari kita?

Inilah sebabnya membentuk dan menjaga reputasi adalah satu perkara yang tidak boleh dilalaikan oleh usahawan.


Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan menerusi Facebook beliau.