Kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Sri Ismail Sabri digesa segera kembali ke “drawing board” berkaitan isu pembangunan Kampung Baru, terutama kawasan “Malay Agricultural Settlement” (MAS) dalam Kampung Baru.
Modus operandi kerajaan pada ketika ini lebih menguntungkan pihak pemaju, berbanding penduduk asal Kg Baru. Jika kerajaan berdegil untuk meneruskan Pelan Induk Pembangunan Kg Baru 2040 (PIPKB 2040), dibimbangi penduduk asal Kg Baru akan terus tertindas dan akhirnya, menjadi orang asing di tempat mereka membesar.
Asas PIPKB 2040 ini mirip dengan pelan induk diumumkan kerajaan Najib Razak pada 2015. Kedua-dua pelan ini mengetengahkan konsep “retail arrangement” di mana pemilik tanah terpaksa berbincang terus dengan bakal pemaju. Ini bukannya mudah, terutama bagi pemilik tanah yang sudah berusia dan tidak berkemahiran dalam perundingan hartanah.
Hakikatnya, kaedah PIPKB 2040 ini boleh menyebabkan pemilik tanah di Kg Baru menerima harga yang lebih rendah untuk tanah mereka, kerana “bargaining power” pemilik individu akan menjadi terhad memandangkan saiz tanah yang kecil dan ketiadaan suara yang besar dalam berunding dengan pemaju.
Bukan itu sahaja, proses rundingan untuk plot tanah-tanah di Kg Baru akan menjadi panjang dan rumit kerana melibatkan banyak pemilik. Ini seterusnya akan melengahkan pembangunan Kg Baru.
Masalah-masalah ini dapat diatasi jika kerajaan mengguna pakai pelan strategik pembangunan Kg Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Dalam pelan tersebut, kerajaan akan membeli tanah-tanah berkaitan dan seterusnya, akan berunding dengan pemaju. Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan pembangunan Kg Baru, malah menjanjikan pampasan yang baik kepada pemilik tanah.
Kerajaan PH sebelum ini menawarkan harga RM1,000 satu kaki persegi, iaitu RM850 tunai dan RM150 dalam bentuk saham. Selain itu, tambahan tawaran lain adalah potongan harga berjumlah 15 peratus bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.
Kaedah ini dibuat PH bagi memastikan mereka diberikan pampasan yang adil tanpa kehilangan hak untuk terus kekal tinggal di Kg Baru.
Alasan kerajaan bahawa pelan PH tidak dapat dilaksanakan kerana hanya mendapat persetujuan 61% pemilik tanah adalah tidak munasabah.
Pembangunan terancang masih dapat dijalankan menggunakan tanah-tanah pemilik yang telah memberi persetujuan. Keberkesanan kaedah ini turut dipersetujui oleh pengerusi sebuah firma penilai hartanah terkenal Rahim & Co International Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman dalam satu wawancara sebelum ini.
Kerajaan juga digesa untuk lebih telus dalam perancangan pembangunan Kg Baru. Laporan penilaian harga tanah (land valuation) perlu dibentangkan kepada masyarakat umum.
Selain itu, perincian tentang jenis pembangunan akan datang di Kg Baru, nisbah plot tanah atau kepadatan penduduk yang dibenarkan juga harus dibentangkan secara terbuka.
Dengan adanya maklumat seperti ini, pemilik tanah dapat menentukan sama ada pampasan yang ditawarkan bagi setiap kaki persegi adalah adil.
Amat malang apabila kerajaan Umno BN gagal untuk berunding dengan pemaju sebagai wakil suara penduduk Melayu di Kg Baru, kerajaan bertindak menyalahgunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana penduduk di Kg Sungai Baru ditawar pampasan sebanyak RM400 sekaki persegi.
Sepatutnya, dari sudut falsafah penilaian hartanah, tanah di Kg Sungai Baru ini lebih tinggi nilainya kerana berada berhampiran tanah KLCC yang mempunyai nilai komersial cukup tinggi serta tanah tersebut tiada sekatan kerana tidak digazetkan di bawah MAS.
Dari sudut undang-undang, penduduk berhak untuk menuntut kenaikan nilaian tanah di dalam siasatan (inquiry) di Pejabat Tanah dan seterusnya memfailkan Borang H dan N untuk bantahan nilai pampasan dirujuk ke Mahkaman Tinggi.
Jika penduduk tidak berpuas hati dengan pengambilan tanah ini, satu permohonan Semakan Kehakiman boleh difailkan di Mahkamah Tinggi seberapa segera untuk membatalkan pengambilan tanah ini dengan menunjukkan wujudnya niat tidak suci (mala fide) kerajaan bahawa tujuan pengambilan bukan untuk tujuan umum (public purpose) menurut seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah sepertimana prinsip undang-undang yang digariskan Mahkamah Rayuan di dalam kes Stamfords Holding Sdn Bhd v Kerajaan Negeri Johor (1998) 1 MLJ 607.
Ironinya, pemimpin dan Menteri Umno BN terutama Perdana Menteri Ismail Sabri sekarang diam membisu langsung tiada suara membela nasib penduduk Melayu di Kg Baru. Sepatutnya, hak penduduk Melayu diutamakan di dalam perancangan pembangunan di Kg Baru. Maka, betullah tilikan Menteri Agama dari Pas bahawa Umno; ‘siang hidup Melayu, malam jual tanah Melayu’.
Adalah tidak adil jika penduduk Kg Baru terlepas menikmati pembangunan di tanah sendiri kerana kegagalan kerajaan dalam merancang dengan tuntas.
Pembangunan Kg Baru perlu dilakukan tanpa menindas dan meminggirkan penduduk asal yang merupakan orang Melayu.
Sumbangan penduduk asal dalam menghidupkan Kg Baru untuk berdekad lamanya perlu diiktiraf. Berikan mereka pampasan yang setimpal dengan harga pasaran dan pastikan penduduk asal terus menikmati pembangunan Kg Baru tanpa diusir keluar.
*FAIZ FADZIL merupakan peguam dan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.