Menilai pencapaian syarikat melalui audit

Oleh BORHAN AHMAD

Lembaga Pemantauan Audit (Audit Oversight Board – AOB) merupakan satu entiti yang dikehendaki oleh undang-undang untuk menilai prestasinya dan ini kena dikemukakan di Parlimen.

Sebagai Pengerusi Eksekutif, saya bersama dengan rakan-rakan lain, bertanggungjawab untuk merangka strategi bagi mencapai tujuan penubuhan AOB dengan menggunakan kuasa yang kami ada. Kami bernasib baik kerana mendapat sokongan dari badan-badan kawalselia audit lain seperti dari United Kingdom, Australia dan juga Singapura.

Setelah mengambilkira keadaan di Malaysia dan memerhati apa yang dilaksanakan di beberapa negara lain, AOB telah membentuk peta strateginya seperti yang dilampirkan. Ianya menghubungkan kerja-kerja AOB seperti yang dinyatakan oleh undang-undang dengan strategi yang dipilih dan juga pencapaian yang disasarkan dari kerja-kerja AOB.

Bila mahu menilai prestasi, kita tidak boleh mengira kerja-kerja sahaja seperti bilangan firma yang berdaftar, bilangan pemeriksaan yang dilaksanakan, kerjasama dengan pihak lain dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah hasil (outcomes) seperti tahap keyakinan kepada penyata kewangan yang beraudit, kualiti pendapat audit, peningkatan sumber di dalam firma-firma audit, nilai dan budaya firma audit dan peningkatan kualiti amalan laporan kewangan. Apabila kesemua ini sentiasa meningkat maka tujuan penubuhan AOB akan tercapai.

Kesemua ini tidak dicapai di dalam masa 100 hari. Seratus hari itu hanya masa untuk merancang dan mengeluarkan strategi dan pelan tindakan yang menyokong matlamat penubuhan AOB. Tentunya jika pencapaian saya dinilai di dalam masa 100 hari, markahnya boleh jadi 5% ke 10% sahaja ?. Tu pun mungkin markah kesian.

Malah, AOB ada perancangan 3 tahun yang dipecahkan kepada 3 bahagian. Setahun setiap bahagian. Mengapa memerlukan tempoh yang panjang? Banyak perkara di dunia ini memerlukan masa untuk menjadi, bukan tukar slogan hari ini besok sudah berjaya. Perancangan 3 tahun ini akan dikaji setiap tahun dan ditambah untuk tahun yang ketiga. Jadi, AOB ada strategi dan perancangan untuk 3 tahun secara berkitar (rolling 3 year plan).

Jika tuan-tuan dan puan-puan perasan di kebelakangan ini, kebanyakan isu korporat bermula dengan laporan juruaudit yang lebih menepati kedudukan sebenar perniagaan atau pun tindakan yang diambil oleh syarikat kerana tidak bersetuju dengan ketegasan juruaudit. Ini bermakna juruaudit berani mengambil tindakan walaupun mungkin akan dibuang oleh syarikat.

Untuk mencapai tahap ini, banyak kerja-kerja AOB yang memberi tekanan dan sokongan kepada firma-firma audit untuk meningkatkan kualiti audit mereka. Di antaranya ialah menilai bagaimana rakan-rakan kongsi diberi imbuhan. Jika imbuhan bergantung kepada bilangan pelanggan baharu atau pun keuntungan yang dibawa, firma audit kena beri penjelasan bagaimana langkah-langkah ini tidak menggaburkan pandangan audit mereka kerana perlu menjadikan pelanggan gembira dan kekal dengan firma audit berkenaan.

AOB juga akan menilai strategi bagaimana firma-firma audit mahu bersaing dan menang di dalam pasaran. Jika ada strategi yang mereka pilih dikira akan menjejaskan kualiti audit mereka, AOB akan menimbulkan isu ini untuk dibincangkan dengan pengurusan tertinggi firma termasuk yang ada di luar negara.

Di antara pencapaian penting AOB ialah apabila AOB dinilai sebagai di antara penyelia audit yang berkesan di rantau ini oleh Asian Corporate Governance Assosiation, sebuah badan yang terdiri dari pelabur-pelabur institusi global yang berpusat di Hong Kong. Malah, AOB diberi kedudukan yang lebih tinggi dari Singapura, negara yang membantu AOB dipermulaaannya.
Semoaga AOB terus berkembang di dalam susunanya yang baharu (akta dipinda selepas saya meninggalkan AOB pada tahun 2016).

Apa yang penting juruaudit sentiasa memberikan pendapat audit secara profesional seperti apa yang dikehendaki oleh piawaian audit dan data dan fakta yang mereka dapati dari kerja-kerja audit mereka.

Bagi juruaudit yang beragama Islam, jangan main-main dengan pandangan audit yang diberikan. Jika ianya diberikan tanpa mematuhi piawaian audit dan tidak disokong dengan bukti-bukti audit yang bersesuaian dan cukup (sufficient and appropriate audit evidence) takut-takut juruaudit termasuk di dalam golongan yang memberikan sumpah palsu. Tu merbahaya di dunia dan akhirat.

Jadi, di dalam menilai pencapaian kenalah kita ada perancangan terlebih dahulu. Kemudian kena ada pelan tindakan berdasarkan strategi yang dipilih.

Pencapian dinilai dengan hasil yang dicapai, bukan setakat bilangan kerja-kerja harian dan perbelanjaan yang dikeluarkan tanpa hasil yang seiring dengan tujuan kerja-kerja berkenaan.