Batalkan caj ATM RM1

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail menggesa kerajaan dan khususnya Menteri Kewangan untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan bayaran RM1 bagi transaksi di mesin juruwang automatik (ATM).

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kadar bayaran RM1 bermula 1 Februari depan sudah pasti paling menekan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak ada banyak ATM.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR menjelaskan seluruh negara tahu bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik dan pelaksanaan siri PKP.

“Saya dan pimpinan KEADILAN akan terus meneliti perkembangan isu ini, dan kami bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan mahupun wakil bank-bank berkenaan demi menyampaikan suara rakyat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memuat naik notis di platform media sosial hari ini berkenaan caj transaksi pengeluaran RM1 antara bank di ATM.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan langkah tersebut sangat salah dan tidak disenangi rakyat yang ramai terjejak akibat pandemik Covid-19.

“Kita juga sedar bahawa bank-bank sering kali meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi yang lain.

“Saya juga berpandangan terdapat cara-cara bagi memastikan pihak bank masih dapat menampung kos dalam hal transaksi ATM yang dimaksudkan ini, yang juga sudah pasti dalam pengetahuan Menteri Kewangan yang dahulunya juga seorang pegawai atasan bank komersial,” ujarnya.

Menurutnya, situasi bagi rakyat pula jauh berbeza dengan bank dengan Maybank sebagai contoh melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 3 November lalu, kerajaan mengumumkan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat pandemik Covid-19.

“Setakat Oktober 2021, dianggarkan 13.9 peratus anak muda antara 15 hingga 24 tahun menganggur, manakala secara amnya terdapat 705,000 orang yang sedang menganggur.

“Dikira bersama peningkatan harga barang yang mendadak dan belum lagi dapat dikawal, jelas rakyat sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan,” kata Saifuddin lagi.