Cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman dan denda yang lebih tinggi kepada pesalah dengan meminda Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit berjangkit harus ditentang kerana terdapat pelaksanaan yang tidak adil dan bersikap antara dua darjat yang cukup ketara hari ini.
Cadangan untuk menaikkan denda ke atas individu dan syarikat serta hukuman penjara akan dikenakan mengundang lebih banyak kezaliman kepada rakyat biasa berbanding kepada pemimpin parti pemerintah.
Contoh kes adalah di Kuala Terengganu baru-baru ini, seorang warga emas yang sedang uzur mengalami serangan teruk sakit kencing manis yang didenda kerana tidak mengenakan pelitup muka dengan betul semasa menghadiri flashmob bantahan harga barang naik.
Walaupun uzur dan penat, Pak Din dengan bertongkat menyeberang jalan dengan tercungap-cungap, beliau kebawahkan pelitup muka beliau di bawah hidung kerana sukar untuk bernafas, malang untuk beliau kerana setelah itu telah dikenakan kompaun.
Pak Din seperti banyak peniaga lain rugi teruk dalam perniagaan dan baru sahaja kehilangan isteri tersayang.
Bayangkan dalam senario sedemikian seorang warga emas dikenakan denda RM1,500.

Bandingkan dengan Yang berhormat Menteri dan Timbalan Menteri serta Exco kerajaan Negeri dengan tanpa alasan yang tidak langsung mengenakan pelitup muka di khalayak ramai dan di majlis-majlis.
Satu sen denda pun tidak dikenakan sementara Pak Din yang daif, lemah dan uzur dikenakan denda sebanyak RMRM1,500! Dimanakah keadilan di sini?
Sebenarnya rakyat Malaysia tidak perlu undang-undang baharu atau hukuman yang lebih tinggi. Rakyat lebih perlukan keadilan yang saksama tanpa mengira darjat serta pangkat dan bukan pelaksanaan undang-undang secara terpilih.
Bukan dua undang-undang berbeza untuk menteri yang menaiki kereta Velfire baru, dan untuk warga emas seperti Pak Din yang bertongkat buruk menyeberangi jalan tercungap-cungap untuk protes kenaikan harga barang.
Apakah rasional kerajaan memberi 80 peratus diskaun kepada saman pesalah trafik bersiri yang membahayakan nyawa orang tetapi bertindak keras dan tidak berhati perut terhadap pesalah yang lemah seperti Pak Din?


Acara Keluarga Malaysia di KLCC anjuran kerajaan baru-baru ini melihat himpunan padat rakyat tanpa penjarakan sosial atau SOP yang betul.
Apakah tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam isu ini?
Dalam isu pindaan Akta 1988 kerajaan dan Khairy menyatakan denda baharu yang tinggi akan dikenakan dengan adil kepada yang bersalah.
Namun malangnya, rakyat tiada keyakinan langsung atas kata-kata jaminan kerajaan yang telah membuat tindakan hukuman antara dua darjat sebagai ‘SOP’ amalan mereka menganiaya rakyat yang sudah susah dan daif.
Sesungguhnya di akhirat nanti, Allah SWT akan menentukan darjat tempat kita yang sebenarnya atas amalan dan keadilan kita di dunia ini.
*RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu.