Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menolak pindaan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) yang diusulkan Kementerian Kesihatan Malaysia di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut Muda, biarpun pindaan akta tersebut yang mengenakan hukuman denda maksimum RM100,000 telah diturunkan kepada RM50,000 dan penjara hanya tiga tahun, ianya masih tidak munasabah kerana telah mengabaikan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan itu berkata, ia jelas menggambarkan bahawa pindaan Akta 342 didraf secara tergesa-gesa dan dibuat tanpa ada rasa tanggungjawab kepada rakyat.
“Ahli-Ahli Parlimen juga hanya dapat tahu secara lebih terperinci pindaan Akta 342 bermula hari Isnin 13 Disember 2021.
“MUDA juga ingin menzahirkan kebimbangan pelaksanaan pindaan ini akan terus dibuat antara dua darjat dengan membeza-bezakan layanan antara rakyat biasa dan menteri seperti yang telah diamalkan oleh kerajaan selama ini.
“Maka, MUDA ingin menggesa kerajaan untuk menangguhkan perbahasan usul Pindaan Akta 342 dan mengambil kira terlebih dahulu pandangan dari Ahli-Ahli Parlimen, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), komuniti perniagaan dan Majlis Peguam sebelum merangka semula Pindaan Akta 342,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muda turut menegaskan agar kerajaan memberi perhatian dan lebih berhati-hati sebelum membentangkan usul ini supaya ianya tidak membebankan rakyat sendiri dan tidak melupakan pendekatan pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat.
Sebentar tadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis bersetuju menambah satu hari lagi bagi Mesyuarat Kedua penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada Isnin (20 Disember 2021).
Lanjutan sidang Dewan Rakyat ini bagi membincangkan dan memutuskan RUU Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).