Hasil risikan dan maklumat pada 22 Disember 2021, sekitar jam 6.30 pagi sepasukan Pegawai dan Anggota Cawangan Khas (Bahagian E6), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah berjaya membuat tangkapan keatas 13 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar yang terdiri dari 12 orang lelaki, seorang wanita dan 3 lelaki warga tempatan.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, ketiga-tiga lelaki warga tempatan tersebut dipercayai Tekong Darat dan ejen transporter di kawasan Napoh, Changloon, Kedah.
“Kejayaan ini juga adalah hasil risikan dan intipan pihak polis di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam yang berjaya mengesan 2 buah kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Aruz yang dipandu dan dinaiki oleh 3 lelaki warga tempatan yang berhenti di kawasan berhampiran tangki air kawasan tersebut.
“Kemudiannya PATI warganegara Myanmar yang bersembunyi di kawasan semak telah menaiki kereta tersebut dan diekori sehingga kawasan Napoh serta berjaya menahan kenderaan terbabit. .
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. Manakala ketiga-tiga lelaki tempatan yang berperanan sebagai Tekong Darat dan Transporter telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Changloon untuk tindakan lanjut, ” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Tegas beliau lagi, kesemua mereka baru saja memasuki Malaysia melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand dan dikenakan bayaran sebanyak RM4000 kepada seorang lelaki Myanmar yang berada di Danok, Thailand.
Selain itu katanya, ejen transporter kesemuanya dikenakan bayaran sebanyak RM800 bagi setiap kereta untuk dibawa bekerja di kawasan Sungai Lembu, Kulim, Kedah.
Tambah Kamarul, tangkapan ini merupakan kejayaan Cawangan Khas Kedah dalam usaha membendung kemasukan semula PATI ke Malaysia selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan.
Kesemua PATI warganegara Myanmar yang telah berjaya ditangkap dibawa ke Balai Polis Changloon, Kedah.