‘Apa yang kita masak untuk mangsa banjir, itulah yang kita makan’

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu malam tadi meraikan petugas dan sukarelawan yang penat bertugas seharian membantu mangsa banjir.

“Tidak mampu kita hendak ucapkan terima kasih, hanya dengan jamuan ala kadar, makan cara marhain. Apa yang kita masak untuk mangsa banjir, itulah yang kita makan.

“Semoga Allah menerima amal jariah kita, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau berucap di Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja meraikan petugas dan sukarelawan malam tadi.

Sementara itu, pejabat wakil rakyat AMANAH itu menerima bantuan roti dan air minuman daripada Haji Osman yang merupakan Pengerusi MPKK Taman Koskam, Tasik Gelugor, Pulau Pinang (gambar atas).

“Saya juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada Ketua Amanah Tasik Gelugor, Sdr Haji Mohd Taufik Abd Rahman

“Makanan dan minuman akan diagihkan segera, manakala sumbangan kewangan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu mangsa banjir.

“Jazakallah kepada penyumbang-penyumbang semua,” kata Mohamad lagi.

Mohamad menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada Ketua AMANAH Tasik Gelugor, Haji Mohd Taufik Abd Rahman.