MP Kuala Krai perlu panggil segera mesyuarat Pilihan Khas JPM

Oleh BORHAN AHMAD

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff bin Abdul Rahman (Pas – Kuala Krai) didesak memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada minggu hadapan untuk menyoal siasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkaitan dengan tuduhan terhadapnya.

Dua ahli Parlimen DAP yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan membuat cadangan ini ekoran surat perletakan jawatan Profesor Terence Gomez dari jawatan beliau dalam SPRM.

“Kami berharap agar cadangan kami ini dapat disambut baik oleh kesemua tujuh orang ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang lain iaitu YB Pasir Salak, YB Parit, YB Baram, YB Setiu, YB Selayang dan YB Sepanggar serta seterusnya menyediakan laporan siasatan beserta dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang boleh dibentangkan pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac 2022,” Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) dan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu).

Bagi mereka, tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki perlu diberikan perhatian oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri

“Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas perlu diadakan bagi memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk memberikan keterangan terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Kami memandang serius terhadap isu tersebut dan bersetuju dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkaitan dengan “defisit kepercayaan” terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang secara tidak langsung turut mencemarkan nama baik SPRM dan nama Malaysia di persada antarabangsa,” kata mereka berdua.