Mujahid setuju tauliah aktivis politik ditarik, masjid bukan tempat sebar fitnah 

Oleh KIM SYAZIE

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tauliah-tauliah yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor ditarik balik.

Mujahid dalam ciapannya di Twitter, bersetuju bahawa masjid perlu bebas dari politik dan bukannya tempat untuk menabur fitnah serta kebencian.

“Benar seperti titah Tuanku, masjid perlu bebas politik dan bukan tempat menabur fitnah dan kebencian.

“Patik perjuangkan konsep masjid rahmah, aman, harmoni mesra, alami, hormat (RAHMAH) tapi terhalang kerana kebencian dan khianat.

“Allah jua tempat patik mengadu,” tulisnya.

Pada semalam, jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memutuskan untuk menarik balik tauliah-tauliah yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor berkuatkuasa 31 Disember 2021.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia selaras dengan titah Sultan Selangor agar tauliah-tauliah tersebut ditarik semula.

Menurut Abdul Aziz, baginda Sultan tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri boleh disalahguna untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam.