Awas sukarelawan, pakai pakaian sesuai elak penyakit Air Kencing Tikus ketika bertugas

Oleh BORHAN AHMAD

Semua sukarelawan yang membantu mangsa banjir dingatkan agar memakai pakaian yang sesuai untuk kerja-kerja membantu khasnya memakai kasut panjang.

Ini kerana, antara penyakit yang biasa menyerang sukarelawan sebagaimana yang berlaku di Lubuk Lubuk Yu, Maran 2010 wajar dijadikan iktibar.

“Misi mencari mangsa lemas bertukar jadi tragedi menyayat hati buat anggota-anggota penyelamat. Satu persatu anggota penyelamat tumbang selepas pulang ke rumah.

“Akhirnya tujuh orang anggota penyelamat menemui ajal. Pada mulanya ramai mengaitkan dengan kejadian mistik.

“Namun misteri terlerai apabila kesemua anggota penyelamat yang meninggal disahkan menghidap jangkitan Leptospirosis ( Penyakit Air Kencing Tikus) & Meliodosis,” tulis seorang aktivis ketika memberikan ingatan kepada sukarelawan.

Menurut beliau, 21 orang yang lain lebih bernasib baik dan berjaya dirawat sebelum melarat.

Bahkan, katanya, ketika banjir besar 2014 di Kelantan ada juga sukarelawan yang dilaporkan meninggal akibat jangkitan Leptosirosis.

Untuk pengetahuan, kuman-kuman ini banyak ‘membiak’ ditempat-tempat tanah berlumpur dan air yang tercemar, katanya.

“Yang menakutkan kuman Leptospirosis ini boleh menjangkiti manusia dengan menembusi kulit.

“Oleh sebab itu adalah dinasihatkan agar para sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir mengenakan pakaian yang lebih selamat.

“Jangan pakai selipar sandal semata-mata.Sekurang-kurangnya pakailah but (bukan high heel ya),” kata beliau dalam satu catatannya.

Selain itu, sukarelawan dan mangsa banjir untuk digalakkan untuk mengambil antibiotik iaitu Doxycycline sebagai langkah pencegahan.

“Hanya seminggu sekali untuk kurangkan risiko jangkitan Leptospirosis. Yang mengalami demam perlu segera bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut,” kata beliau lagi.