Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan segera bertindak mengatasi isu pembalakan yang hangat diperkatakan ketika ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid melalui kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung insiden balak bergelimpangan ketika banjir baru-baru ini dan tidak seharusnya dipandang enteng.
“Mapim kesal apabila isu pembalakan tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh sehingga memberi impak yang teruk ketika banjir melanda negara baru-baru ini dan pihak berkuasa seharusnya dapat mengesan serta mengawal ketat kelulusan sebarang konsesi balak.
“Lebih parah lagi apabila ada dakwaan campur tangan pihak atasan meluluskan lesen pembalakan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat dengan ketara melalui video sisa pembalakan yang hanyut sehingga ke hilir serta berlakunya kemusnahan yang ketara.
“Gambar dan foto yang mengejutkan apabila ribuan kayu balak terapung dan hanyut sekitar Sungai Telemong, Bentong, Pahang termasuklah kemusnahan berskala besar segala prasarana dan infrastruktur yang ada merupakan suatu realiti yang terbukti,” ujar beliau.
Sejajar dengan itu tegasnya, kerajaan yang mempunyai autoriti membanteras aktiviti pembalakan sewajarnya mengambil tindakan segera bagi menilai semula semua faktor yang mendorong kearah musibah nasional tersebut.
Tambah beliau, kini sudah sampai masanya jenayah alam ini ditangani dengan dikaitkan sebagai jenayah berat yang perlu dihukum dengan tegas tanpa mengambil kira kedudukan dan pangkat mereka yang terlibat.