Majlis Presiden Pakatan Harapan mendesak agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat oleh satu badan siasatan bebas.
Sementara itu kata PH, kedua-dua pegawai tertinggi itu perlu direhatkan sementara atas kemungkinan telah gagal menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Gabungan itu juga menegaskan, penjelasan KP SPRM menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham Azam Baki yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.
“Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam.
“Ini melibatkan undang-undang Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah. Serta (membabitkan) isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.
“Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad sabu; DAP Lim Guan Eng dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada semalam telah mengeluarkan kenyataan akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham tersebut.
Majlis Presiden juga berpandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi boleh berdiam diri.
Mereka berkata, selaku ketua majlis, Ismail harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.
“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian
“RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh perlu dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja ketua pesuruhjaya sedia ada, malah juga bekas ketua-ketua pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini,” tambahnya lagi.