Bantu cara berbeza, baiki motosikal secara percuma untuk mangsa banjir

Oleh BORHAN AHMAD

Membuat sesuatu kerja berdasarkan pengalaman tentulah hasilnya lebih bermakna berbanding dengan membuat sesuatu kerja tanpa pengalaman.

Berbekalkan pengalaman mengalami banjir saban tahun, Pemuda AMANAH Kelantan membuat Program Baiki Motorsikal Percuma Kepada Mangsa Banjir di Selangor.

Ia diadakan oleh mereka di di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam, setelah penduduk di sini mengalami banjir teruk baru-baru ini.

Sehingga petang semalam, pada hari pertama mereka bertugas, lebih 50 buah motosikal telah berjaya dibaiki oleh pasukan yang dibawa oleh Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Jeming atau Hazmi Hassan ke Shah Alam ini.

Jeming bercakap dengan pasukannya di tempat kerja-kerja membaiki motosikal secara percuma di Dewan MPKK Kamopung Lombong, Shah Alam.

“Program ini adalah salah satu cara untuk kami membalas budi warga Selangor yang membantu rakyat Kelantan semasa banjir 2014,” kata Hazmi kepada Malaysia Dateline.

Program ini, kata beliau, bermula 7 Januari semalam sehinggalah Ahad 9 Januari esok mulai jam 10 pagi hingga 5 petang.

Motorsikal dibaiki oleh team yang dibawa oleh Pemuda AMANAH Kelantan yang diketuai oleh Mohd Farhan Shaikh Hussein.

Dia juga merupakan pemilik bengkel motorsikal Motorline Garage yang terletak di Kota Bharu membawa enam orang pekerjanya untuk sama-sama menyumbang tenaga membaiki motorsikal di sini.

“Ini kali pertama saya buat program baiki motorsikal percuma buat mangsa banjir.

“Sambil-sambil baiki kita dapat bertanya khabar dengan pemilik motorsikal yang rata-rata rumah mereka tenggelam,” kata Farhan.

Setakat jam 7.45 malam tadi, lebih 50 buah motorsikal telah berjaya dibaiki dan dihidupkan semula.

Proses membaiki melibatkan kerja-kerja menukar minyak hitam, penapis angin dan servis karburator.

Motorsikal dibaiki oleh team yang dibawa oleh Pemuda AMANAH Kelantan yang diketuai oleh Mohd Farhan Shaikh Hussein, pemilik bengkel motorsikal Motorline Garage yang terletak di Kota Bharu yang membawa enam orang pekerjanya.

Beliau menganggarkan perbelanjaan untuk program ini RM13,000 termasuk alat-alat ganti, kos pengangkutan dari Kelantan dan makan minum.

Manakala anggaran kos minima bagi sebuah motorsikal yang dibaiki adalah RM250.00

Salah seorang pemilik motorsikal yang ditemui melahirkan rasa terima kasih beliau kepada team dari Kelantan ini.

“Program sebegini sangat baik dilakukan sebab kalau nak hantar motor baiki di bengkel pun kebanyakannya masih banyak motor yang nak dibaiki dan pastinya ambil masa yang lama untuk dibaiki.

“Bawa ke sini tak sampai sejam dah dapat dihidupkan semula,” kata beliau gembira.

Sementara itu, Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Haji Mohamad Sabu turut bersyukur dengan kerja yang dibuat oleh anak buahnya itu.

“Alhamdulillah hari ini kita berkongsi rezeki pula dengan pemilik motosikal di kalangan mangsa banjir di Kota Raja.

“Kita bantu servis dan baiki motorsikal yang boleh diselamatkan secara percuma,” tulis beliau menerusi facebook beliau.

Menurut beliau, program selama tiga hari bermula hari ini dianjurkan bersama dan ditaja oleh Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Pertubuhan Amal Harapan Kelantan, MPKK Kampung Lombong, PeBS Sungai Kandis dan Persatuan Sahabat Harapan Selangor.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas komitmen dan kesungguhan NGO serta para sukarelawan yang sudi membantu.

“Semoga ia termasuk dalam amal jariah yang diterima oleh Allah SWT, InsyaAllah,” kata beliau.