Buat kali kedua, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador dijangkiti Covid-19 ketika negara itu mencatatkan lebih 30,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam pada 8 Januari lalu, angka tertinggi sejak virus itu mula dikesan di Mexico.
Walau bagaimanapun, kata Obrador semalam, keadaannya tidak serius dan akan mengasingkan diri sehingga sembuh.
Pemimpin yang dikaitkan dengan projek pelancongan kontroversi, ‘Kereta Api Maya’ tersebut sebelum ini didapati positif Covid-19 pada Januari tahun lalu.
“Walaupun saya mengalami simptom ringan, saya akan mengasingkan diri dan hanya akan berhubung secara maya,” kata pemimpin berusia 68 tahun itu.
Obrador yang telah menerima suntikan dos penggalak AstraZeneca pada 7 Disember lalu berkata demikian dalam ciapan terbaharu di akaun Twitter miliknya.
Sehubungan itu, tugasnya akan diganti oleh Menteri Dalam Negeri, Adan Augusto Lopez.
Mexico kini mencatatkan peningkatan sebanyak 11,052 kes baharu menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 4,136,440 kes sekali gus di tangga ke-16 dunia jumlah kes Covid-19.
Terdapat 78 kes kematian baharu akibat Covid-19 di negara itu dengan kumulatif korban pada masa ini mencecah 300,412 kes.