Apa yang berlaku berhubung skandal Ketua Pesuruhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amaran keras kepada sesuatu kejahatan yang dibuat pada siang hari, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Beliau berkata, Tan Sri Azam Baki telah melakukan perbuatan mengkhianati amanah sedangkan dia dipertanggungjawabkan menjaga integriti negara.
Katanya, alasan diberi Azam juga dibuat secara terang-terangan tanpa rasa bersalah bahawa kononnya saham itu adalah milik adiknya tetapi menggunakan akaun dagangannya.
“Ada banyak persoalan yang sepatutnya memberi kejutan kepada rakyat seperti ‘bagaimana pemilikan saham bernilai jutaan ringgit termampu oleh seorang penjawat awam di SPRM? bukankah ada percanggahan kepentingan?
“Betulkah adiknya menggunakan akaunnya dengan Suruhanjaya Sekuriti tanpa deklarasi terlebih dahulu dan diletakkan penamanya? Apakah Suruhanjaya Sekuriti dikompromikan?
“Banyak lagi akan terdedah apabila seorang yang berkedudukan tinggi mula mempertahankan pengkhianatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berkata, banjir baru-baru ini yang melanda negara dengan keadaan kayu balak bergelimpangan pula jelas memperlihat ketamakan manusia yang meninggalkan kesan menyayat hati kepada rakyat.
Ini juga katanya merupakan petanda kejahatan yang dilakukan terang-terangan dan hikmah banjir mendedahkan segalanya.
“Sekarang kejahatan dapat dilihat oleh semua rakyat. Balak yang dicari tetapi Bala pula menimpa rakyat,” katanya.
Mujahid menegaskan, bagi membela kepentingan syariat Islam, rakyat harus bangkit menghentikan kejahatan ‘siang-siang’ hari yang mencabar hak Allah tanpa rasa segan silu.
Jelasnya, Allah memerintahkan umat Islam menentang rasuah kerana ia satu bentuk pembohongan, pengkhianatan dan kezaliman yang membawa bala kemusnahan kepada semua orang.
Syariat dijadikan demi kemaslahatan manusia dan alam sekitarnya, dan kemaslahatan yang dinodai adalah kesombongan terhadap Allah.
“Menjijikkan apabila pengkhianatan, rasuah dan pembohongan dipertahankan oleh pihak berwajib dan umat mendiamkan diri kerana dilalikan dengan mentera ‘Melayu-Isle’.
“Ada pula yang memilih ‘perjuangan lebih besar’ daripada kerosakan ini dengan slogan ‘No Anwar, No Dap’ dan ‘Islam Terancam’. Apa sudah jadi kepada kita! Kejahatan di siang hari telah Allah tunjukkan, di mana akal dan dhomir hati kita? Butakah kita?,” soalnya.