Salah laku: Abdul Hadi gagal bezakan antara peranan media dan mahkamah

Oleh NASUHA RAHMAN

Kritikan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap laporan media mengenai isu dakwaan salah laku individu menunjukkan Ahli Parlimen Marang itu agak keliru dengan peranan media.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata, Abdul Hadi gagal untuk memahami atau untuk membezakan antara peranan media dan peranan mahkamah.

“Dia kelihatanya cuba campur adukkan dua unsur yang tidak sama dalam satu acuan, di situlah, bagi saya, punca kekeliruan.

“Bagi saya, identiti individu bukan isu primer isi kritikan YB Marang. Sebaliknya, keanehan teori yang beliau bersandar padanya itu yang mengundang seribu misteri.

“Untuk berlaku adil kepada YB Marang, mungkin boleh dihujahkan ada logika untuk beliau melontarkan teori aneh beliau sebagai asas ke atas kritikan pedas beliau ke atas pihak media

“Bagi saya, beliau cuba kemukakan rationalisme ini. Oleh kerana hanya mahkamah yang layak bagi menentukan seseorang yang dikaitkan dengan salah laku itu bersalah atau tidak bersalah maka media tidak sewajarnya mengambil alih peranan mahkamah,”katanya.

Pengamal undang-undang itu juga mengakui mahkamah adalah forum yang terbaik untuk menentukan salah atau tidak salah seseorang atas tuduhan salah laku.

Tetapi, jelasnya peranan dan fungsi mahkamah dan media berbeza bagaimanapun jika dua benda berbeza ini ingin disamakan nesacya ia akan menimbulkan kerumitan dan keributan yang tidak perlu.

“YB Marang seharusnya melihat kedua-dua entiti tersebut-media dan mahkamah- sebagai lengkap melengkapi .

“Jujurnya, agak pelik YB Marang yang menerajui sebuah parti Islam boleh mengemukakan teori aneh ini sedangkan Islam itu sendiri ada konsep yang tegar mengenai pencegahan kemungkaran yang boleh dihujahkan ia adalah sebahagian dari peranan dan fungsi media itu sendiri.

“Sudah tentu, hatta dalam sistem Islam, peranan media mendedahkan salah laku apalagi jika melibatkan isu kepentingan awam dan negara tidak bermaksud memperkecilkan tugas dan peranan hakim dan mahkamah,” katanya.

Baru baru ini media melaporkan isu kritikan YB Marang yang juga Presiden Pas terhadap laporan media mengenai isu salah laku ( misconduct ) seseorang sedangkan orang yang berkenaan belum lagi dibawa ke mahkamah.

Meskipun beliau tidak menamakan mana-mana individu, namun agak ramai yang membuat spekulasi bahawa beliau merujuk kepada seseorang yang dikenali.