Apa yang berlaku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan siasatan Suruhanjaya Securiti (SC) terhadap ketuanya Datuk Seri Azam Baki telah menjadi perang saudara dalam perkhidmatan awam, sekali gus menimbulkan keraguan kepada kerajaan, kata pemerhati.
Mereka berkata, lapor The Malaysian Insight, mana-mana individu yang terlibat perlu bercuti sehingga pihak berkuasa menyiasat perkara itu terlebih dahulu seterusnya terbawa-bawa ke dalam media sosial dan kini menjadi bualan ramai terutama di kalangan ahli politik.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dikecam kerana memiliki saham yang kemudiannya didakwa dibeli adiknya menggunakan akaun milik beliau.
“Keyakinan orang ramai terhadap SPRM dan SC akan terhakis jika kedua-dua suruhanjaya itu terus bertelagah antara satu sama lain,” kata Ahli Parlimen dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) William Leong, lapor media itu ketika memungut pandangan pelbagai pihak mengenai isu ini.
Perang saudara ini juga telah mendapat perhatian bekas pengerusi Panel Pencegahan Rasuah SPRM dan bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Ramon Navaratnam yang berkata kedua-dua institusi itu akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan perkhidmatan awam dan keyakinan orang ramai terhakis.
“Ini adalah dua institusi yang mempunyai standard integriti yang sangat tinggi pada masa lalu tetapi dengan kemerosotan dalam tadbir urus yang baik dari segi sistem dan kerajaan, kedua-dua institusi ini telah terjejas.
“Ini amat dikesali kerana ia memberi tamparan kuat berhubung keyakinan orang ramai terhadap dua institusi tertinggi itu. Mereka komited atau harus komited terhadap integriti, tadbir urus yang baik dan bertindak dengan adil.
“Jika kedua-dua institusi ini disyaki (amalan rasuah), dan perlu disiasat, biarlah ia berjalan, jika tidak keyakinan orang ramai akan semakin merosot,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh media itu.