34,203 keluarga terima bantuan Selangor Bangkit, keseluruhan RM34.3 juta

Oleh KIM SYAZIE

Sebanyak 34,203 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat hari ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Menerusi kemaskini di Facebook, beliau berkata, bantuan yang disalurkan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM34.323 juta.

Untuk rekod, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk ikhtiar Selangor Bangkit susulan banjir teruk yang melanda negeri itu.

Peruntukan itu termasuk bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.

Menerusi Infografik yang dikongsikan, Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan paling ramai dengan sebanyak 11,236 penerima yang mendapat RM1,00 setiap keluarga.

Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM11.236 juta bagi penerima di daerah tersebut.

Klang merekodkan 7,376 penerima dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM7.436 juta, termasuk keseluruhan RM60,000 untuk enam keluarga yang kehilangan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, di Hulu Langat pula mencatatkan 6,846 penerima bantuan berjumlah RM1,000 dan terdapat dua keluarga yang kehilangan ahli keluarga mereka akibat banjir, bakal menerima RM10,000 setiap keluarga.

Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM6.866 juta bagi penerima di daerah itu.

Manakala Kuala Langat (1,890 penerima, keseluruhan RM1.9 juta); dan Kuala Selangor (1,869 penerima, keseluruhan RM1.869 juta).