Jika DUN Johor dibubar, petanda Umno gila kuasa

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Pemuda AMANAH Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman melabel Umno sebagai gila kuasa sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor benar-benar dibubarkan.

Beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline berkata, desas desus yang bertiup kencang bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, merupakan penanda aras kerakusan Umno dalam mengendalikan masalah negeri dan rakyat.

“Nak tak nak sekiranya ada PRN kami terpaksa lawan. Tetapi siapa yang rugi, tentunya rakyat yang rugi dari pelbagai sudut.

“Mereka (Umno) sudah rasa diri mereka kuat dan rakyat menyokong segala tindak tanduk mereka walaupun dengan menyusahkan rakyat dengan membubarkan DUN.

“Hakikatnya kami tidak bersetuju berikutan perhatian sepatutnya ditumpukan kepada rakyat terlebih dahulu bukan sibuk mencatur kuasa,” tegasnya.

Terdahulu, Umno Johor menolak ‘spekulasi’ berhubung pembubaran DUN yang dikatakan berlaku semalam.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, Umno negeri itu juga tidak membuat sebarang perbincangan mengenai hal itu.

Kerajaan negeri Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN), mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia 21 Disember tahun lalu.

BN kini mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), Pas (satu) dengan jumlah 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN.