Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan kesemua masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardu Jumaat, untuk menggunakan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah bermula Jumaat ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah perkenan memberi kebenaran tersebut dengan menitahkan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan pada jarak 1.0 meter.
Mohd Shahzihan berkata, surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan kepada semua masjid dan surau terlibat dalam masa terdekat agar ia dapat dilaksanakan pada 21 Januari ini.
“Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada November lalu.
“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru itu.
Ketetapan baharu itu juga masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard yang ditetapkan kepada para jemaah.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan turut memaklumkan ketetapan tersebut menyentuh beberapa perkara berbangkit berhubung dengan hal ehwal aktiviti pengimarahan, pengurusan solat dan jemaah.
“JAIS berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan solat Jumaat,” katanya.