Speaker tolak usul pemilikan saham Azam Baki

Oleh NASUHA RAHMAN

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini menolak usul pembangkang untuk membincangkan isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, kepada Speaker Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Azhar agenda Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, yang ditetapkan hari ini adalah berkaitan isu banjir.

“Hari ini agendanya banjir, bukan berkenaan rasuah. Saya akui terima usul tersebut sehari lepas dan saya sudah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil Perdana Menteri berdasarkan kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Oleh sebab itu, saya tidak ada kuasa menentang atau menerima usul berkenaan. Kalau Yang Berhormat Pulai fokus, agenda ini ditetapkan Perdana Menteri.

“Sehingga hari ini, saya tidak mempunyai apa-apa notis dari Perdana Menteri (mengenai agenda lain), maka saya anggap usul itu dianggap tidak akan dimasukkan dalam agenda hari ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bangun meminta kebenaran Azhar supaya usul yang dikemukakan kelmarin dimasukkan dalam agenda terakhir pada persidangan hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) kemudiannya bagun meminta perkara sama dibahaskan, namun Azahar kekal dengan keputusan untuk tidak menerima usul berkenaan.

Semalam, Salahuddin memaklumkan sudah menghantar notis usul tergempar kepada Azhar untuk membincangkan isu pemilikan saham Azam.