Ahmad Zahid diperintah bela diri babit 47 pertuduhan

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Hakim memberi tiga pilihan terhadap Ahmad Zahid untuk membela diri iaitu memberi keterangan secara bersumpah, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas.

Zahid yang merupakan bekas timbalan perdana menteri memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah menetapkan tarikh pada Mac, April, Mei dan Jun untuk prosiding membela diri.

Tarikh itu ialah 28 hingga 31 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei dan 27 hingga 30 Jun.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.