Keputusan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency Internatiinal Malaysia (TI-M) menunjukkan CPI negara jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-57 pada tahun 2020.
Malah kedudukan ini jelas membuktikan bahawa sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) merampas tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020 yang lalu, rasuah dan salahguna kuasa kembali berleluasa.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, rakyat turut mempersoalkan tindakan yang akan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani kemerosotan ini dan seterusnya memastikan institusi SPRM benar-benar berperanan membanteras rasuah serta menjamin nilai-nilai integriti dalam keseluruhan sistem pentadbiran dalam negara.
“Saya berpandangan kurangnya tindakan dalam mereformasikan SPRM menjadi institusi antirasuah yang benar-benar bebas dan berada dibawah tanggungan Parlimen seperti yang dicadangkan pada tahun 2015 turut menjadi salah satu faktor kepada kemerosotan kedudukan CPI.
“SPRM perlu bertindak sebagai sebuah badan yang bebas dan diletakkan di bawah Parlimen bagi menjamin semak dan imbang serta elak campur tangan pihak berkepentingan terutamanya dalam kes berprofil tinggi.
” Sehubungan itu, kenyataan SPRM untuk mengambil perhatian serius berkenaan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 perlu dibuktikan melalui proses siasatan yang telus melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang terpalit dengan krisis moral dan integriti, ” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Akmal yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia turut berkata, ini merupakan langkah permulaan yang wajar dilaksanakan oleh SPRM bagi membersihkan nama institusi tersebut serta nama baik negara diperingkat antarabangsa.
Tambah beliau, tindakan SPRM menutup mata dan telinga teehadap kontoversi melibatkan Azam Baki akan hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi terbabit.