Ketua Bersatu Tebrau Mazlan Bujang umum keluar parti, sokong BN

Oleh NASUHA RAHMAN

Bekas ADUN Puteri Wangsa dan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang umum letak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Bekas Pengerusi Bersatu Johor itu juga berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya juga berpendirian untuk menyokong Datuk Hasni Mohammad untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor.

“Ia bagi mewujudkan kestabilan politik demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Johor,” katanya.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri itu berkata, turut sama meletakkan jawatan ialah setiausaha dan 23 ketua cawangan serta ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Tebrau.

Mazlan berkata, beliau yakin ramai lagi daripada Bersatu yang akan mengikut jejak langkahnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti.

“Sebagaimana pernah dilaporkan media dan ramai rakan saya sendiri cakap saya dianaktirikan dalam Bersatu. Saya tidak mahu cerita sedalam-dalamnya, cukup la perkataan (dianak tiri) dilontar rakan-rakan saya,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin kuat terutama dalam kalangan ahli politik Johor mengaitkan bekas ADUN Puteri Wangsa dan bekas Ketua Bersatu Johor akan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Pada PRU14, Mazlan meraih 37,545 undi bagi memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa, menewaskan empat pencabarnya iaitu Abd Aziz Tohak daripada BN, Abdullah Husin (PAS), Lim Yak Hong dan Ting Choon Hai (masing-masing Bebas).