Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun jatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, di Langkawi pagi tadi.
Dilaporkan, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan telah dikejarkan ke hospital.
Ketua Bomba Zon Langkawi Fadzlullah Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian daripada orang awam yang hadir di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra pada 8.23 pagi tadi.
“Sejurus itu, tujuh anggota berserta dua jentera dari BBP Persiaran Putra dan BBP Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzlullah berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian terus memberikan rawatan awal kepada mangsa.
“Mangsa yang didapati mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Sultanah Maliha dengan ambulans. Operasi tamat sepenuhnya pada 9.10 pagi,” katanya.