‘Hei mu Jeming! Kita ada misi bawa anak muda Kelantan ke Johor’

Oleh KIM SYAZIE

Hasrat hati mahu mengembara nun jauh ke hemifera utara dengan kereta api Trans Siberian yang sejauh 9,389 km. Ia merupakan landasan terpanjang dunia yang menghubungkan Vladivostok ke Moscow.

Landasan itu dibina pada tahun oleh Czar Alexander III pada tahun 1891 dan siap pada tahun 1916. Revolusi Bolsheviks tercetus pada tahun 1918. Pemimpin kanan revolusi itu, Leon Trotsky menggunakan kemudahan kereta api itu untuk menyebarkan doktrin revolusi ke seluruh Rusia dengan cepat.

Idea dan tindakan Trotsky menggunakan ‘armour train’ yang dilengkapi persenjataan berat termasuk meriam, kereta kebal memang sangat berkesan. Trotsky adalah pembina idealog revolusi dalam pasukan Lenin.

Kerajaan Czar yang membina projek landasan keretapi itu akhirnya dijatuh dengan kebangkitan rakyat. Rakyat marah kerana kemiskinan dan penderitaan hidup mereka adalah kerana polisi kerajaan feudal Czar itu yang bobrok, korup dan menzalimi rakyat bawahan.

Dunia dahulu dengan dunia sekarang sama sahaja. Firaun, Qarun, Haman dan Bal’am adalah watak sepanjang zaman. Mereka mati ditenggelamkan oleh Lautan Merah. Kemudian Tuhan hidupkan Firaun dan rakan-rakannya yang lain pula. Tuhan juga hidupkan manusia lain yang mempunyai watak nabi Musa dan Harun.

Dua paksi ini adalah pertarungan sepanjang zaman. Kalian seharusnya sepintar atau seberani Ali Syariati mentafsir sejarah manusia dengan al Quran. Jangan berjilid kitab dibaca hanya buat memenuhi memori otak untuk perut sendiri. Tanyakan diri sendiri. Jawab sendiri.

Berbalik pasal mauduk kereta api. Sama juga di tanah air, semangat kemerdekaan dikembangkan melalui sistem pengangkutan keretapi. Stesyen-stesyen kecil yang ada di sepanjang landasan keretapi menjadi pusat kebangkitan pribumi. Segala demonstrasi dan rapat umum dibuat di situ.

Di Tanjung Malim tempatnya guru-guru di Sultan Idris Training College seperti Cikgu Abdul Hadi Hassan, Cikgu Harun Aminurrashid, Cikgu Ibrahim Yaakub yang menjadi obor cahaya merdeka. Mereka bukan mengajar sekadar tahu mengenal huruf dan membaca tulisan kepada anak bangsa. Mereka mengajar erti hidup bangsa yang bermaruah dan merdeka.

Di Temoh Stesen, ada al-Madrasah al-Saadiah yang Kiyai Haji Salleh menjadi gurunya. Di Kuala Kangsar ada Madrasah Idrisiah, di Padang Rengas ada Madrasah Yahyawiyah yang dipimpin Tuan Guru Abdul Samad Noh, Di Bagan Serai, ada Ehya As Syarif Gunung Semanggol dipimpin Ustaz Abu Bakar Baqir.

Dan banyak lagi madrasah dan sekolah yang menjadi markaz membina jiwa merdeka. Semua pekan itu berkembang kerana adanya stesyen kereta api.

Saya membayangkan suatu ketika nanti, kita gunakan kereta api ini sebagai laluan untuk membangkitkan kesedaran parahnya negara yang dipimpin oleh kuasa korup dan khianat. Kita boleh ulang kembali semangat kemerdekaan dahulu dalam konteks masa kini bagi membebaskan rakyat dari belenggu kebodohan dan kemunduran.

Sebelum melangkah jauh, bertatih dahulu di tempat sendiri. Buat perancangan dan membina angan-angan. Saya bersama isteri berkereta api malam. Bermula dari Tapah Road, sebuah pekan kecil menaiki ETS hingga ke stesyen Gemas. Kemudian menaiki kereta api malam ke Wakaf Baru, Tumpat.

Sengaja memilih tempat duduk di gerabak yang ada kafe – coach C semasa naik ETS. Manakala keretapi malam, kafenya terletak di gerabak khas. Senang mengeteh menghilang bosan malam yang gelap.

Gerabak tidak penuh dan tivi ETS hanya menyiarkan iklan Cuti-Cuti Malaysia yang berulang-ulang. Memang menjemukan kerana iklan tahun 2020. Iklan dua tahun kebelakang. Patutlah gerabak tak meriah sangat.

Memasuki perut ibu kota Kuala Lumpur, berhenti seketika di KL Sentral tempat arwah Meor mem’busking’. Kini tiada lagi nyanyiannya. Entah ada pengganti entah tidak. Entahlah siapa yang mengisahkan keperluan busker di situ.

Kami melalui stesen demi stesen satu demi satu. Dari satu negeri ke satu negeri. Bersilih tukar penumpang yang keluar dan masuk. Masing-masing tahu waktu dan tempat yang harus turun. Itulah peraturannya. Hanya dalam politik korup, segala hukum jarang dipatuhi. Pegang kuasa sampai menongkat langit.

Melewati stesen Pulau Sebang/Tampin teringat penyanyi blues tanahair, Ito yang tinggal tidak jauh dari stesen kereta api itu. Pernah saya tumpang letak kereta di rumahnya sewaktu balik ke Teluk Intan dengan kereta api ETS.

Ketika itulah lepak di rumahnya sambil bersembang pelbagai topik. Dari cerita politik yang sering menjengkelkan kami hingga pasal harmonika. Dari ukiran rumah kayu orang Melayu hingga nasib seniman dari zaman P. Ramlee sampai kini.

Negeri Melaka yang kecil itu mempunyai dua stesen kereta api, satu di Pulau Sebang dan satu lagi di Batang Melaka. Ini kelebihan negeri yang di bawah pentadbiran negeri-negeri selat yang diketuai gabenor.

Gabenor-gabenor yang dilantik oleh Inggeris bekerja mengikut sistem Westminster yang professional, disiplin dan berintegriti. Bukan seperti negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, pentadbirannya banyak kelemahan. Terlalu banyak mitos, dongeng dan khurafatnya yang memundurkan pribumi. Rasuahnya pun boleh tahan juga.

Dalam banyak negeri-negeri yang dilindungi Inggeris, hanya Terengganu yang tidak mempunyai landasan kereta api. Yang ada hanya landasan kereta api bijih besi antara Bukit Besi hingga Sura Gate, Dungun.

Dapatlah juga sesekali orang tempatan menumpang kereta api yang lalu berulang alik mengangkut bijih. Mereka naik tanpa bayaran. Itupun sudah ditutup kira-kira pada tahun 70an.

Hei mu Jeming!

Mu bawa anak muda Kelantan ke Johor Bahru. Kita ada misi. Kerja kalian bukan lagi untuk jadi mat kilang atau buruh kasar di Singapura. Kali ini anak muda Kelantan mahu bebaskan rakyat Johor dari ahli politik kemaruk dan tamak kuasa.

Hei kamu anak muda Utara, ibu kota dan seluruh negara,

Mari penuhkan gerabak kereta api yang sepi ini ke Johor. Bawa bersama semangat Laksamana Bentan. Cuba hafalkan dialog seniman Ahmad Nordin dalam filem ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ mengenai pemimpin yang adil dan zalim.

Kita berhenti sama ada di Segamat, Tenang, Labis, Bekok, Kluang atau Johor Bahru. Dari situ, jentera pilihanraya Johor akan beri tugasan bagi memastikan regim politikus jahat akan terhapus. Jumpa para pengundi dan rakyat.

Ambil juga semangat Si Bongkok di Tanjung Puteri. Ligat dan liciknya membinggungkan pembesar negeri dan Inggeris. Di laut menjadi jerung, di daratan menjadi harimau. Tidak pernah jemu melawan.

Hei mu Jeming dan anak muda semua!

Siapkan 10 anak muda yang boleh menggoncangkan dunia. Penuhkan gerabak malam itu dengan anak muda yang sarat semangat perjuangan. Ingat, ini bukan pertarungan antara Red Warrior dengan Singa Selatan JDT. Ini perjuangan membangkitkan Johor buat Malaysia.

Keretapi berhenti agak lama di pekan Bahau. Jalan-jalan lenggang. Puluhan tanglung merah bergantungan di jalan raya sunyi. Kereta lalu satu dua sahaja. Hanya kelihatan kedai mamak Liga Ali Maju yang masih dibuka dan terang. Kedai-kedai lain tutup.

Jam sudah dua pagi. Teringat cerita P. Ramlee yang pernah dendangkan lagu pukul tiga pagi, tidurlah wahai permaisuri! Nanti saya sambung kembali.

*Jeming adalah nama timang-timangan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan merangkap Exco Pemuda Amanah Nasional.