Pakar kesihatan tegur pemimpin Malaysia buat SOP, tapi mereka juga yang ingkar

Oleh KIM SYAZIE

Pakar Kesihatan, Datuk Dr Musa Mohd Nordin menegur pemimpin-pemimpin tertinggi Malaysia yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, tetapi mereka juga yang ingkar arahan tersebut.

Menerusi ciapan di Twitter, Pakar Perunding Pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara itu memuatnaik ciapan yang ditulis dengan rima akhir seakan-akan pantun, menegur isu pelanggaran SOP membabitkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau turut menegur tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan Hishammuddin apabila mengatakan menteri kanannya itu tidak melakukan jenayah hanya kerana melanggar SOP.

“He is the chief of SOP, He violated and he flop, PM Malaysia pun tak stop, We Malaysia fail from the top

“Johor sure akan meletop, the ugly we must chop, the bad we must drop, baru lah Malaysia mantop,” ciapnya.

Hishammuddin terpalit dengan isu pelanggaran SOP apabila satu video tular menyaksikan beliau meredah kerumunan hadirin pada Majlis Pelancaran Briged MIC, di Kota Iskandar Johor Ahad lalu.

Beliau melalui ciapan Twitter, mengakui kekhilafannya dan mengakui ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

Banyak pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang mula mendesak Hishammuddin meletakkan jawatan kerana Hishammuddin yang memegang jawatan sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, sebelum ini telah mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan, serta mengatakan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijalankan dengan selamat.

Ismail Sabri bagaimanapun mengatakan bahawa Hishammuddin tidak perlu meletakkan jawatan walaupun beliau didapati bersalah SOP Covid-19 kerana kesalahan itu bukanlah jenayah.

Beliau juga menganggao sekiranya peletakan jawatan perlu dilakukan oleh menteri-menteri yang melanggar SOP, maka tiada lagi menteri yang akan bekerja kerana semua perlu meletakkan jawatan.