Kadang-kadang kita berfikir secara sepihak dan berasa semua perkara yang kita mahu akan menguntungkan kita, orang Islam.
Namun kita lupa, kadang-kadang perkara yang kita lihat menguntungkan kita pada suatu masa, mungkin pada masa yang lain berpotensi menjejaskan kita.
Misalnya, kita kata, pindalah Perlembagaan supaya anak-anak berumur 18 tahun ke bawah berhak memilih agamanya sendiri. Kita fikir, ini tentu akan menguntungkan kita.
Bagaimana jika berlaku (kita berlindung dengan Allah), andai ada anak orang Islam pula ingin keluar Islam pada usia bawah 18 tahun?
Atau, salah seorang ibu atau bapa Muslim murtad (kita berlindung dengan Allah) dan dibawa bersama-samanya anak bawah 18 tahun untuk turut sama murtad? Bagaimana?
Mungkin bagi “budak-budak baru nak up” yang punya semangat keagamaam secara melulu atas nama membela aqidah akan berkata, “apa salahnya kita mati demi aqidah?” Silakanlah jika BBNU itu mahu!
Saya bukan orang undang-undang, jadi saya jahil berkaitan dua contoh yang saya buat tadi. Cuma bagi saya, segala-galanya tidak mudah. Undang-undang bertulis bukan segala-galanya.
Perlu ada gandingan harmoni antara undang-undang bertulis dan kebijaksanaan mengurus kepelbagaian terutama kepelbagaian kepercayaan.
Piagam Madinah tidak mencatatkan segala-galanya, tetapi Islam berkembang di Semenanjung Arab sampai ke Afrika dan Eropah dengan sangat harmoni.
Kini, di negara Barat, Islam berkembang begitu positif. Jika di sana “agama rasminya” bukan Islam, tapi Islam boleh berkembang, mengapa di tempat kita, “agama rasminya” Islam, kita masih bergaduh?
Tentunya bukan salah Islam, tapi salah kita dalam menguruskan hal ehwal Islam. Menteri Agama mana, belum keluar gua ke?
