Seorang wanita terkandas dalam perjalanan turun dari Gunung Korbu iaitu puncak tertinggi Banjaran Titiwangsa akibat diserang penyakit asma semalam.
Pendaki berusia 29 tahun tersebut difahamkan antara 60 individu yang menyertai ekspedisi menawan gunung itu sejak 24 Februari lalu dan sepatutnya dijadualkan turun semalam, 27 Februari.
Untuk rekod, gunung dengan ketinggian 2,183 meter itu dilanda hujan berterusan susulan pergerakan sistem cuaca tekanan rendah.
Gunung Korbu merupakan gunung kedua tertinggi di Semenanjung yang menjadi idaman pendaki gunung untuk ditawan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dilapor berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian pendaki mengalami sesak nafas pada 7.41 malam tadi.
“Pasukan penyelamat seramai enam orang bersama malim gunung telah melakukan penjejakan, yang dipercayai dua jam perjalanan ke lokasi mangsa berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa berjaya dibawa ke kaki gunung dan diserahkan kepada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan awal.
Wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Pegawai Kanan Bomba I, Shaharuddun Abd Ghani itu tamat jam 1 pagi tadi.
Sementara itu, Balai Bomba Tambun turut memaklumkan operasi menyelamat melibatkan bantuan 10 anggota BBP Ipoh, Jabatan Perhutanan (3), Polis Diraja Malaysia (4) dan Kementerian Kesihatan (3).
“Tindakan pantas pasukan SAR (search & rescue) berjaya mengesan dan membuat medical primary survey seterusnya mengusung mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
“Sebaik tiba di kaki gunung, mangsa terus diberi rawatan awal oleh unit EMRS Ipoh dan dihantar ke Hospital Ipoh untuk rujukan selanjutnya,” katanya menerusi Facebook rasmi balai bomba tersebut.
Dalam masa sama, hebahan menerusi kumpulan Facebook Hiking And Camping Around Malaysia (HACAM) memaklumkan seorang anak risau apabila ibunya juga merupakan antara peserta misi pendakian itu.
“Tiada berita. Call mereka tak dapat. Line tiada,” kata hantaran di media sosial itu.
Dalam masa sama, salah seorang pendaki, Shaherwan Ab Wahab pagi ini menerusi komentar di laman HACAM itu memaklumkan kesemua peserta berjaya diselamatkan anggota bomba malam tadi.
“Saya salah seorang peserta. Alhamdulillah, yang cedera sudah mendapat rawatan yang sepatutnya. Perjalanan halalan toyyiban (dengan permit kebenaran).
“Trek memang sangat, sangat mencabar . Al maklumlah, hujan,” katanya.
