Pengundi muda penentu PRN Johor

Oleh NASUHA RAHMAN

Nusantara Academic For Strategic Research (NASR) menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan tipis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ramalan awal menyatakan BN akan memperoleh kemenangan besar seperti pada PRN Melaka November 2021 yang lalu tidak membuatkan BN begitu selesa kerana faktor penambahan undi orang muda yang ramai pada PRN Johor kali ini.

BN juga dijangka akan dapat mengulangi kejayaan besarnya seperti mana di Melaka dengan mendapat kemenangan dua pertiga kerusi DUN jika tiada undi muda pada PRN Johor kali ini.

Buat kali pertamanya di Malaysia had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun dan PRN Johor adalah pilihan raya negeri yang menerima kehadiran beramai-ramai pengundi muda ini.

Pengundi muda penentu PRN Johor
PRN Johor adalah pilihan raya negeri yang menerima kehadiran beramai-ramai pengundi muda ini.

Dengan pelbagai etnografi dan demografi, penambahan lebih 700,000 orang pengundi baharu atau 30 peratus daripada pengundi asal memberikan cabaran baharu untuk semua parti politik terutama gabungan BN dan PH.
Pada PRU lepas, BN tewas kepada PH dengan memenangi 36 kerusi DUN Johor dan membentuk kerajaan. Tetapi setelah Langkah Sharaton, PH tumbang setelah Bersatu keluar daripada PH. Keadaan amat tidak stabil dengan BN-PN mempunyai 29 kerusi berbanding 27 PH sehingga DUN Johor dibubarkan pada Febuari 2022.

Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan Parti Bersatu, PAS dan Gerakan yang merupakan saingan utama untuk BN. PN walaupun baharu sahaja ditubuhkan, juga memberikan saingan agak signifikan kepada BN kali ini.

Parti UMNO yang majoritinya bertanding di kawasan Melayu perlu berebut undi dengan PN serta parti Pejuang yang buat kali pertamanya muncul dalam PRN Johor kali ini.

Pejuang telah menurunkan muka-muka baharu bertanding sebanyak 42 kerusi dan Parti Warisan mencuba nasib di semananjung untuk PRN Johor kali ini.

Warisan telah meletakan enam orang calon-calonnya di kawasan strategiknya dengan ramai pengundi yang berasal dari negeri Sabah terutama di DUN Permas, Johor Jaya, Makhota dan sekitarnya.

Keadaan ini amat menarik dan PRN Johor menjadi ‘bahan eksperimen’ untuk teori baharu dan gabungan parti-parti baharu. Keadaan ini juga tidak dilepaskan oleh parti-parti baharu dan kecil seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti PUTRA.

Setelah lebih seminggu berkempen, PH dan PKR juga mampu ‘memenangi’ kerusi-kerusi yang ditandingi dengan majoriti mudah dan membentuk kerajaan di Johor jika mereka fokus untuk mengambil hati undi Melayu dengan fokus untuk meningkatkan undi Melayu kepada 2 hingga 5 peratus lagi.

Penentu kejayaan BN atau PH juga bergantung kepada undi orang muda untuk PRN Johor kali ini. Lebih 80 peratus pengundi muda di PRN Johor ini adalah berumur bawah 35 tahun dan kebanyakan mereka adalah anak-anak lepasan SPM atau masih di IPT.

Kecenderungan mereka adalah mengikut pengaruh orang tua mereka, orang sekeliling serta media sosial. Dengan pelbagai sekatan dan SOP baharu yang diperkenalkan oleh SPR dan KKM dalam usaha membendung dan mengawal COVID-19, media sosial adalah wadah utama untuk menyampaikan maklumat dan bahan-bahan kempen.

Pelbagai cara dan kaedah altenatif baharu telah digunakan untuk mendapatkan sokongan dan pandangan orang muda. Pada ketika ini, nombor telefon pengundi yang betul adalah kunci utama untuk mendekati mereka.

Masalah pandemik COVID-19 tidak reda lagi dan makin meningkat dan rakyat Johor seolah-olah didedahkan dengan bahaya yang besar dengan PRN ini. Pengundi Cina agak menolak untuk keluar mengundi beramai-ramai ketika ini dan ini memberikan ‘ancaman’ kepada PH yang kebanyakan akan diundi oleh mereka.

Ada laporan juga, ramai petugas-petugas parti telah didapati positif COVID-19 dan menjadi kontak rapat dan keadaan ini telah menjejaskan kelancaran perjalanan dan perancangan jentera parti masing-masing. Kepada rakyat Johor, selamat mengundi dan buatlah pilihan terbaik untuk negeri yang tercinta ini. Allah pelihara Johor.

Penulis adalah Felo Nusantara Academy For Strategic Research