Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lebih banyak saksi untuk memberikan keterangan lanjut berhubung isu MySejahtera, selepas kedua-dua menteri kewangan dan menteri kesihatan selesai memberi keterangan mereka pada semalam.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin dipanggil hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan dipanggil hadir pada 21 April depan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa).
“PAC berpendapat bahawa perlu memanggil lagi saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut bagi prosiding ini.
“PAC akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Khamis depan untuk hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.
Jelas Wong, fokus PAC pada semalam adalah berkenaan pemberian kontrak pembangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. pada April 2020.
“Selain itu, prosiding membabitkan pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn. Bhd. oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.
“Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data dan komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera.
“Entiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn. Bhd., KPI Soft Sdn. Bhd. dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn. Bhd. di mahkamah,” katanya.
Menurut beliau, prosiding itu diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982).
Baca juga: DAP umum senarai jawatankuasa penuh bagi penggal 2022-2025
Baca juga: Dikurung dan diseksa, begitulah nasib 16 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja