Ratusan soalan dikemukakan orang ramai kepada Datuk Seri Najib Razak yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu sempena Debat Perdana bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.
Deretan soalan termasuk berkenaan tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu terkandung dalam ruangan komentar bagi hantaran Anwar di Facebook rasminya.
“Saya ingin membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengemukakan soalan kepada Dato’ Sri Najib Razak,” kata Anwar semalam diikuti lebih 400 komentar setakat jam 6 petang tadi.
Pengguna Facebook antaranya, Asnol Hakim bertanyakan sama ada mampukah Najib yang digelar sebagai ‘Bossku’ dapat membebaskan hukuman penjara selama 12 tahun daripada sebarang ikat jamin pertuduhan rasuah termasuk penyelewengan dana 1MDB milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta jika didapati sabit kesalahan oleh mahkamah hakim di peringkat persekutuan pada tahun lalu.
Dalam masa sama, Asnol bertanyakan, mengapa projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah semakin jauh ketinggalan kepada rakyat Sabah dan perlu menunggu masa selama berpuluh tahun seperti disuarakan Menteri Kerja Raya Sabah.
Walhal, katanya, di Sarawak hampir 71 peratus disiapkan setakat November tahun lalu termasuk tiga pakej dilancarkan sudah menikmati keselesaan jaringan infrastruktur yang baik kepada rakyat di negeri itu.
“Adakah Najib masih mampu bertahan dan memberi sokongan kepada rakyat tempatan untuk menerajui kepemimpinan pada PRU akan datang?” soal Asnol lagi.
Jam 9 malam ini, Najib bakal berentap hujah dengan Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara.
Anwar, yang juga Presiden PKR akan melakar sejarah berkongsi pentas sulung dalam debat awam dengan Ahli Parlimen Pekan itu yang dilihat sudah bersedia dengan memakai sarung tangan tinju seperti dimuat naik di media sosial rasminya hari ini.
“Ready. Jumpa di gelanggang,” kata Najib.
Sementara itu, Kiran Kumar Paramasivam memohon Anwar bertanyakan Najib bagaimana untuk pemerintah dan pembangkang dapat berkerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.
“Macam mana nak majukan negara dalam masa 10 tahun? Adakah dia (Najib) atau semua ahli politik ini benar-benar jujur dan ikhlas berkhidmat?” tambahnya.
Soal ‘gangguan’ ahli-ahli politik dari parti-parti yang membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ pada masa ini iaitu Bersatu dan Umno terhadap pelbagai projek untuk rakyat juga dibangkitkan warganet.
“Apakah yang DSNR akan lakukan untuk mengembalikan dan memastikan projek untuk rakyat seperti HSR (projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura), (teknologi) 5G, LRT3 (Transit Aliran Ringan 3) dilaksanakan dengan baik dan lancar serta tidak diganggu ahli-ahli politik yang berkepentingan
Beliau juga meminta Najib memberi penjelasan sama ada bekas Presiden Umno itu bersedia untuk menyokong mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak termasuk autonomi, cukai, royalti dan jumlah ahli parlimen.
“Adakah rakyat berhak untuk memecat wakil rakyat yang lompat parti? Adakah Najib bersedia untuk mengesa kerajaan agar membentangkan rang undang-undang anti lompat parti dengan kadar segera?” soal Jeff lagi.

Bagi Muhammad Haqimi pula, beliau berharap Anwar akan bertanyakan kepada Najib mengenai sejumlah harta yang dimiliki seperti umum tahu termasuk barangan kemas yang didakwa milik Rosmah bernilai ratusan jutaan USD yang disita pihak polis pada 2018.
“Apakah kewajaran Najib memohon rumah bernilai RM100 juta dalam masa negara tersepit dengan hutang 1MDB dan pandemik Covid-19 dan betulkah mereka yang tidak membayar cukai itu adalah pengkhianat negara?” soalnya.
Sementara itu, Rudy Lim Cheng Hoe pula mempersoalkan sama ada sistem kehakiman di negara ini bersifat pilih kasih.
“Kenapa Najib disabit kesalahan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta masih bebas ke sana sini?
“Kalau Anwar buat salah kenapa sudah dipenjarakan? Kalau sistem kehakiman Malaysia ada keraguan macam mana Malaysia boleh bergerak maju?” tulisnya lagi.
Baca Debat Anwar-Najib mesti jadi jangan pula batal saat akhir kerana kuarantin