Rakyat Malaysia anggap prestasi Jokowi lebih baik dari Ismail Sabri

Oleh ARIF ATAN

‘Trending’ di Twitter nama Joko Widodo apabila rata-rata rakyat Malaysia menganggap prestasi Presiden Indonesia itu jauh lebih baik dari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Reaksi warganet itu muncul selepas membandingkan hasil kunjungan kedua-dua pemimpin negara itu ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Jokowi telah berjaya mengadakan pertemuan dengan Pengasas Tesla dan Space X, Elon Musk di Pusat Pembangunan Space X di Texas, Amerika Syarikat, 14 Mei lalu.

Musk kemudiannya berkata, beliau merancang untuk melawat Indonesia pada November depan atas jemputan Jokowi.

Sementara itu, Ismail Sabri semalam pulang ke Malaysia selepas empat hari berada di AS dalam rangka lawatan kerja termasuk bertemu Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Dilihat mengundang kritikan warganet, sambutan kira-kira 400 pemimpin dan penyokong Umno terhadap kepulangan Ismail Sabri di Pangkalan Tentera Udara Subang pagi semalam dianggap ‘entah apa-apa’.

Ismail Sabri disambut dengan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ dan pelbagai kain rentang antaranya, “DSIS lantang perjuangkan rakyat Palestin di depan pemimpin dunia”, “Salute keberanian YAB PM tak gentar perjuangkan isu keamanan depan pemimpin dunia” dan “Thank you PM DSIS less talk, more action”.

Ekoran itu, ada yang mengucapkan tahniah kepada Indonesia apabila kunjungan Jokowi ke AS dilihat lebih berhasil sehingga ke tahap perbincangan mengenai pelaburan dan teknologi dengan Elon Musk yang pernah bergelar manusia kedua terkaya di dunia itu.

“Akui saja Jokowi sedang melakukan lebih baik daripada Ismail Sabri. Tahniah Indonesia,” kata seorang pengguna Twitter.

Pih Zhuan pula mengaitkan dengan badut sambil berkongsikan klip video berdurasi seminit 37 saat kiriman Ismail Sabri yang memaparkan kemeriahan sambutan penyokong Umno terhadap Presiden parti itu.

“Pelawak sungguh. Sementara itu, Jokowi sedang makan tengah hari bersama Elon Musk. Badut tidak berguna tetapi mendapat sambutan seperti wira negara,” kecam Pih Zhuan.

Untuk rekod, pertemuan antara Jokowi dan Musk dilapor susulan perbincangan mengenai satu pelaburan yang berpotensi dalam industri nikel dan perbekalan bateri untuk kenderaan elektrik di Indonesia.

Republik itu memiliki bekalan nikel terbesar di dunia dan Indonesia telah beberapa tahun cuba untuk memeterai perjanjian kerjasama dengan Tesla berkaitan pelaburan bateri dan pada masa akan datang.

Dalam masa sama, Ismail Sabri dalam lawatan ke AS antara lain mencadangkan syarikat aeroangkasa SpaceX milik Musk itu membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik.

Selain itu, Ismail Sabri semasa pertemuan dengan Presiden AS Joe Biden pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, 14 Mei lalu turut membangkitkan isu Palestin dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan jenayah kemanusiaan itu.

Baca Dari Jakarta kepada Nusantara