Penyakit malu apa bossku kini berjangkit kepada Asyraf Wajid?

Oleh BORHAN AHMAD

Sejak kempen ‘Malu Apa Bossku’ dimulakan Najib, kita dapati ramai juga pimpinan Umno yang menzahirkan sikap muka tak malu. Yang terbaharu melibatkan Asyraf Wajdi dalam kes saman fitnah yang dilakukan oleh Dr. Mujahid terhadapnya.

Adalah amat jelas bahawa Dr. Mujahid telah memenangi kes ini apabila satu Penghakiman Persetujuan tercapai dengan Asyraf Wajdi bersetuju menarik balik kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkannya terhadap Dr. Mujahid.

Kenyataan Asyraf Wajidi yang bertajuk “Tabung Haji jual RM2.6 Bilion ekuiti: YB Mujahid harus segera beri penjelasan” telahpun ditarik balik oleh Asyraf Wajdi. Namun, beliau enggan mengaku bahawa ianya satu kenyataan yang berunsur fitnah dan beliau tidak meminta maaf sambil membuat ‘muka tebal’ sambil mendakwa ianya hanya suatu pertanyaan. Sekiranya benar dakwaannya, bahawa ianya bukan fitnah tetapi sekadar satu pertanyaan, maka mengapa perlu kenyataan itu ditarik balik?

Semua yang mengikuti kes ini memahami bahawa dengan penarikan balik kenyataan itu, seperti yang dituntut melalui Penghakiman Persetujuan yang terhasil, bererti Dr. Mujahid memenangi kes ini dan Asyraf Wajidi telah terbukti memfitnah dan kalah kes.

Adalah sesuatu yang mengarut untuk mendakwa sebaliknya. Di sisi undang-undang, apabila seseorang difitnah, individu tersebut akan membawa kes ke mahkamah untuk membersihkan namanya. Apabila difailkan, kes akan dilupuskan samada melalui perbicaraan atau kaedah penyelesaian yang disebut Penghakiman Persetujuan.

Penyelesaian kes melalui Penghakiman Persetujuan adalah proses biasa dalam sesuatu litigasi, malah digalakkan sepertimana kata-kata Abraham Lincoln, “A good settlement is better than a good lawsuit”.

Akan tetapi, tindakan Dr. Mujahid memaafkan Asyraf Wajidi sambil berpuashati dengan sekadar penarikan balik kenyataan jahat tersebut kelihatan seolah-olah diambil kesempatan oleh Asyraf Wajidi.

Ini adalah kerana apabila Dr. Mujahid, yang merupakan seorang yang sememangnya bersifat pemaaf, tidak menuntut permintaan maaf dari Asyraf Wajidi, atau pampasan atas kecederaan terhadap reputasinya yang dialaminya hasil kenyataan berunsur fitnah itu, maka Asyraf Wajidi berlagak seolah-olah dia tidak kalah dalam kes saman fitnah berkenaan.

Ini adalah kerana Asyraf Wajdi adalah dari Umno, parti “malu apa bossku” dan walaupun berlatarbelakang pendidikan agama, tetap menunjukkan sifat tak malu dan tak kesal dengan kejahatan yang dilakukannya.

Nenek moyang kita telah menghasilkan pepatah “seperti melepaskan anjing tersepit” yang mana setelah dilepaskan maka anjing tersebut menggigit balik pihak yang melepaskannya. Akan tetapi tiada yang menjangka seorang berkelulusan agama akan bertindak sedemikian rupa.

Sepatutnya beliau memahami bahawa beliau perlu berterimakasih atas sifat pemaaf Dr. Mujahid dan segera meminta maaf atas keterlanjurannya walaupun permintaan maaf itu tidak dituntut oleh Dr. Mujahid. Akan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Ada di antara netizen pula yang mengkritik Dr. Mujahid kerana kononnya bersikap ‘terlalu’ pemaaf. Mereka seolah-olah berkata, kalau dah tahu anjing itu akan menggigit orang yang melepaskannya, maka mengapa kamu lepaskannya?

Sebenarnya pepatah Melayu itu bukan bermaksud jangan melepaskan anjing yang tersepit, saya tidak memahaminya begitu, kerana mustahil nenek moyang kita menganjurkan kita bersikap kejam dan keras hati dan membiarkan sahaja anjing tersepit terus tersepit sehingga mati. Sebaliknya pepatah itu sekadar memberi amaran, setelah melepaskan anjing itu, berhati-hati dan berjaga-jaga, kalau-kalau anjing itu akan bertindak untuk menggigit kamu.

Dan saya rasa Dr. Mujahid bersedia untuk hadapi keadaan di mana Asyraf Wajdi bertindak secara tidak tahu malu dan tidak mengaku kesalahannya serta tidak meminta maaf. Tetapi mungkin Dr. Mujahid tersentak dengan serangan sebahagian netizen terhadap dirinya kerana bersifat pemaaf! Sedangkan sifat pemaaf adalah sifat terpuji!

Sepatutnya Netizen menyerang Asyraf Wajdi kerana sikap ‘malu apa’ yang ditunjukkannya, bukan menyerang Dr. Mujahid. Akan tetapi itulah keadaan dunia sekarang, khususnya di negara tercinta kita, Malaysia. Pencuri dan perompak disanjung dan dijemput ke istana. Sambil hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap pencuri dan perompak disiasat badan pencegah rasuah!

Maka Dr. Mujahid diserang kerana terlalu bersifat pemaaf, sambil yang bersikap muka tak malu dibiarkan sahaja. Dengan bertindak sedemikian rupa Dr. Mujahid memberi peluang kepada Asyraf Wajdi untuk menzahirkan sejauhmana dia memahami dan menghayati ajaran Islam.

Parti Isle pun sekadar mendiamkan diri. Mungkin penyakit muka tak malu dan malu apa bossku turut dijangkitinya. Di mana suara ulama yang dibanggakan mereka? Tetapi apakan daya, ada dikalangan mereka turut menghidupkan budaya memfitnah dan turut sama memfitnah Dr. Mujahid tempoh hari…

Dengan itu juga menunjukkan betapa Umno merosakkan sifat malu yang merupakan akhlak agama Islam. Walau tinggi mana sekalipun pendidikan agama seseorang, apabila bersama Umno, dan berpolitik secara Umno, maka akan hilanglah akhlak islam seseorang itu. Asyraf Wajidi adalah bagi saya bukti kukuh akan kenyataan ini.

Sedangkan fitnah itu satu kezaliman yang teramat besar di sudut ajaran agama Islam. Tidakkah sepatutnya dia kesal dan meminta maaf atas kenyataannya itu? Tidak. Mengapa tidak? Kerana dia dari Umno, parti “malu apa bossku”.