Pakar Pendidik Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, yakin lebih ramai yang tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Menurutnya, kerajaan perlu membendung sebaiknya isu membabitkan golongan yang tercicir daripada sistem pendidikan atau tidak bersekolah langsung ini.
“Ini kerana kita tidak mahu mereka ini terbabit dalam gejala sosial dan masalah akhlak sehingga lebih banyak kos perlu dikeluarkan kerajaan bagi menguruskan pusat pemulihan,” dipetik BH.
Dr Anuar mengulas Laporan Daya Saing Global 2019, yang menyebut sebanyak 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, mereka sepatutnya bersekolah tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana faktor kemiskinan, tinggal di pedalaman, selain kedudukan sebagai keluarga gelandangan di kawasan bandar.

Jelasnya, Perangkaan Pendidikan Malaysia 2021 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tahun lalu juga menunjukkan kemungkinan ada kanak-kanak dan remaja yang tidak bersekolah.
Perangkaan itu menunjukkan 90.31 peratus daripada 3.063 juta kanak-kanak berusia enam tahun hingga 11 tahun yang bersekolah rendah, manakala 84.06 peratus daripada 1.445 juta remaja berusia 12 tahun hingga 14 tahun ke sekolah menengah dan hanya 77.87 peratus daripada 956,273 mereka yang berusia 16 tahun ke atas bersekolah di peringkat menengah atas.
“Memang ada sebilangan kecil yang tidak termasuk dalam peratusan itu bersekolah di institusi swasta, namun kita yakin lebih ramai yang tidak bersekolah atau mengalami keciciran daripada yang memasuki sekolah swasta.
“Menurut laporan OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi), jumlah keciciran anak-anak ke sekolah sememangnya meningkat terutama dalam kalangan negara yang menutup sekolah bagi tempoh lama akibat Covid-19,” memetik laporan BH lagi.