PKR mula menyerang kerusi-kerusi yang dirampas oleh pengkhianat parti itu bermula dengan kerusi Parlimen Gombak melalui program Rapat Mega Keadilan.
Selain Gombak yang dibawa lari oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Rapat Mega Keadilan juga akan dirancakkan di Parlimen bersebelahannya iaitu Ampang, kawasan yang dibawa lari oleh Zuraidah Kamarudin.
“Azmin Ali, saya harap awak menonton siaran ini. Zuraidah di mana kamu?” kata Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan PKR ketika memulakan program malam tadi.

Paling ramai datang ke program di tapak Bazaar Ramadhan Taman Melawati itu adalah pemimpin dan penyokong PKR di Parlimen Gombak dan Ampang yang berjiran.
Chua Wei Kiat, Adun Rawang ketika berucap berkata, jentera pilihan raya PKR sudah bersiap sedia berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kalau sebahagian pemimpin Umno mahu esok pilihan raya manakala sebahagian lagi tahun depan, kita di Keadilan sudah siap sedia hadapi pilihan raya,” kata beliau.
Bagi anggota Majlis Pimpinan Keadilan, Siti Aishah Shaik Ismail, PKR tidak pernah kehilangan kerusi Gombak, “Tetapi kita akan hilangkan pengkhianat dari Gombak.”
“Kita datang bukan suka-suka tetapi mahu menghantar signal kepada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN).
“Wanita Umno, kalau kamu nak menangis pergi bucu katil, Pemuda Umno kamu hendak menjilat duduk di PWTC.
“Tetapi kami rakyat akan pastikan kamu tumbang dalam PRU15,” kata Siti Aishah yang pernah ditahan polis hanya kerana memuat naik satu video di Tik Tok.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli berkata, tujuan PKR menyertai pilihan raya kali ini adalah untuk membawa agenda reformasi dan membawa keadilan untuk rakyat.
“Isu besar yang kami hadapi adalah membawa pengundi muda dan pengundi pertama kali untuk
mengundi Harapan dalam pilihann raya kali ini,” kata Adam Adli yang memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Mei lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hampir kesemua pimpinan utama PKR menyertai Rapat Mega malam tadi.