Selepas Istana Selangor menggantung darjah kebesaran yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak, Pulau Pinang pula menjadi negeri kedua mengikut jejak sama membatalkan darjah kebesaran bekas perdana menteri itu.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah bersetuju agar kerajaan negeri membatalkan darjah kebesaran Najib yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009.
Pembatalan tersebut berkuat kuasa serta merta berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang Mohd Zakuan Zakaria dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
“Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama pada tahun 2009.
“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September 2022.
“Pembatalan dan pemansuhan Keahlian ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011,” katanya.
Baca juga: Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah