PM diingatkan tidak bubar Parlimen sebelum Belanjawan 2023 diluluskan – Kit Siang

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan supaya tidak mensia-siakan Belanjawan 2023  yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober yang akan datang. 

Saranan ini kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, adalah bagi mengingatkan PM supaya tidak membubarkan Parlimen sebelum Belanjawan 2023 dibahas dan diluluskan oleh Parlimen terlebih dahulu. 

“Sekiranya pembubaran Parlimen berlaku sebelum Belanjawan 2023 tersebut diluluskan maka ia akan menjadi belanjawan gagal dan terburuk seperti mana yang telah berlaku pada tahun 1999 semasa Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. 

“Ismail tidak sepatutnya mengikut jejak dan langkah gagal tersebut dengan mensia-siakan belanjawan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat negara ini. Yang terbaik bagi PM adalah mengumumkan selewat-lewatnya menjelang 6 Oktober bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak akan diadakan pada tahun ini kerana musim tengkujuh dan bencana banjir. 

 “Seandainya pengumuman ini tidak dibuat adalah diyakini tidak ada sesiapa pun yang akan. berminat dengan Belanjawan 2023, sebaliknya semua akan menumpukan perhatian terhadap persoalan utama bilakah Parlimen akan dibubarkan,” ujar beliau. 

Malah tambahnya, Belanjawan 2023 sewajarnya membentangkan rancangan kerajaan untuk melawan peningkatan harga barang dan inflasi, meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan asing, mengurangkan beban rakyat dan mempromosikan konsep Keluarga Malaysia bagi menyatukan rakyat negara ini tanpa mengambil kira kaum, agama maupun kawasan.. 

Tegas beliau lagi, sekiranya Ismail Sabri bertindak dengan tidak bertanggungjawab memohon pembubaran Parlimen dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong selepas pembentangan Belanjawan 2023 tersebut, Baginda mempunyai dua sebab yang kuat untuk menolak dan tidak memberi perkenan kepada pembubaran tersebut. 

Alasan pertama katanya, ialah Parlimen tidak patut dijadikan bahan jenaka atau permainan politik, sebaliknya perlulah diberikan ruang untuk membahas dan. meluluskan Belanjawan 2023 selepas dibentangkan melainkan terdapatnya undian tidak percaya terhadap PM dan tidak ada sesiapa yang membentuk kerajaan. 

Manakala alasan keduanya ialah musim tengkujuh dan banjir telah mengorbankan 54 nyawa dan telah menyebabkan kerosakan harta benda peribadi dan awam yang melibatkan kerugian sejumlah RM6. 5 bilion pada tahun lalu. 

Sejajar dengan itu kata beliau lagi, kini adalah masa untuk ditumpukan sepenuh persediaan musim tengkujuh dan kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan korban nyawa dan kerugian kerosakan yang paling minima. 

PM juga digesa supaya bertindak demi kepentingan negara dan bukannya mengutamakan kepentingan kluster mahkamah dikalangan pimpinan Umno. 

Baca juga: Lebih RM5,000 lesap sampai tinggal seringgit je dekat bank, rupanya terbagi nombor TAC pada ‘scammer’

Baca juga: ‘Untung secupak rugi segantang’, terima suapan RM400 tapi kena denda RM3,000