Tular satu video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dikesan melakukan kesalahan trafik dengan memotong di garisan berkembar.
Menerusi video yang dikongsi laman Negeri Sembilan Kini, Perodua berkenaan dilihat ‘cilok’ kereta di hadapan yang ketika itu sedang berhenti pada lampu isyarat merah.
Perodua Alza itu kemudian berhenti di hadapan kenderaan berkenaan sambil salah seorang penumpang membuka tingkap dan menunjukkan sikap kurang sopan.
Susulan itu, polis dimaklumkan sedang mengesan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan di persimpangan lampu isyarat Kompleks Pentadbiran Daerah Rembau, di Jalan Seremban-Tampin.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, dalam video tular itu, kenderaan MPV berkenaan datang dari arah Seremban menghala ke Tampin.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan tersebut telah memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar dan seterusnya bergerak dalam keadaan lampu isyarat masih merah.
“Bahagian siasatan Dan penguatkuasaan trafik IPD Rembau telah membuka satu kertas siasatan di bawah Kaedah 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri berkata, setakat ini, pemandu yang menularkan video berkenaan telah diambil keterangan dan usaha mengesan pemandu Perodua Alza itu sedang dijalankan.