Calon Pakatan Harapan di Titiwangsa, Khalid Samad melepaskan pelurunya yang pertama kepada lawan beliau, Datuk Johari Ghani apabila meminta lawannya dari Barisan Nasional (BN) tidak bertanding kali ini.
Dalam wawancara beliau dengan The Malaysian Insight yang dibuat secara langsung petang ini, Khalid berkata, tindakan kerajaan Barisan Nasional merampas tanah penduduk Kampung Sungai Baru tidak wajar berlaku.
“Kalau saya jadi dia, saya tidak akan tunjukkan muka saya di Titiwangsa dalam pilihan raya ini selepas kerajaan beliau merampas tanah penduduk di situ,” kata Khalid.
Khalid merujuk kepada tindakan kerajaan merampas tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang terletak di dalam kawasan Parlimen Tittiwangsa dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Pemilik tanah disitu hanya diberikan pampasan dengan kadar RM400 lebih sahaja sekaki persegi berbanding dengan tawaran yang dibuat oleh beliau selaku Menteri Wilayah Persekutuan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini RM1,000 sekaki persegi untuk penduduk Kampung Bharu yang terletak bersebelahan dengan Kampung Sungai Baru.
Dalam wawancara hari ini, Khalid berkata, Datuk Seri Najib pernah memperlekehkan tawaran beliau itu dengan berkata, tanah yang terletak di sebelah Kampung Bharu bernilai RM3,000 sekaki persegi tetapi setelah kerajaan BN berkuasa, hanya RM400 lebih sekaki persegi sahaja yang ditawarkan kerajaan.
“Itupun dalam keadaan tanah di Kampung Sungai Baru bukan mempunyai sebarang sekatan sebagaimana tanah Kampung Bharu yang mempunyai pelbagai sekatan kerana terletak di bawah Akta Malay Agriculture Setlement (MAS,” kata Khalid.
KLIK UNTUK IKUTI WAWANCARA PENUH DENGAN KHALID SAMAD
“