Sebagai sebuah kerajaan yang senantiasa peduli terhadap keperluan rakyat, Skim Pinjaman Harapan (SPH) 2.0 kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang telah menaikkan jumlah maksima pinjaman tersebut sehingga RM50,000.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini skim SPH hanya memberi pinjaman antara RM3,000 hingga RM25,000 sahaja.
Namun begitu pada kali ini ia telah dinaikkan kepada RM50,000.
“Sebelum ini skim tersebut dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat setelah ditubuhkan pada tahun 2009 dengan peruntukkan yang disalurkan adalah sebanyak RM11 juta.
“Dengan penambahan jumlah bantuan pinjaman kewangan tersebut ia mampu membantu usahawan seluruh Pulau Pinang bagi mengembangkan perniagaan mereka.
” Setakat 7 Oktober 2022 sebanyak RM22, 312,630.40 telah pun disalurkan kepada 3,840 peminjam bagi kesemua lima daerah di Pulau Pinang,” ujar beliau dalam majlis pelancaran Skim Pinjaman Harapan 2.0 di Bayan Baru.
Malah katanya, pinjaman melalui skim SPH tersebut adalah bagi membantu para peniaga dan penjaja kecil Pulau Pinang melalui skim pemberian modal yang mudah bagi mengembangkan perniagaan mereka.