Antara perkara penting yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik dalam proses pilihan raya adalah manifesto.
Manifesto pilihan raya adalah dokumen bertulis yang mengandungi janji untuk ditunaikan oleh sesebuah parti politik atau gabungan parti politik setelah menang dalam pilihan raya.
Lazimnya, manifesto pilihan raya dibuat setiap kali tiba musim mengundi sama ada pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).
Manifesto pilihan raya biasanya dibuat secara ringkas bagi memudahkan rakyat untuk membaca dan memahaminya bagi memilih wakil rakyat yang mewakili parti-parti politik ketika mengundi mereka kelak.
Namun, walau betapa indah, bernas dan cantik janji-janji sesebuah manifesto itu, ia akan koyak dan tidak akan bererti satu sen pun apabila pengundi memilih pemimpin yang khianat dan korup untuk mewakili mereka dalam pilihan raya.
Bahkan jika sesebuah gabungan parti yang menang dalam pilihan raya itu terdiri daripada barisan kepimipinan korup, maka manifesto yang bakal ditunaikan akan menjadi projek-projek yang akan dimonopoli oleh kartel atau
kroni politik yang akan mendapat tendernya.
Pengalaman PRU-14 sudah membuktikan apabila berlaku peristiwa pengkhianatan dan Langkah Sheraton, manifesto semakin ke laut atau menjadi keruan. Projek manifestasi manifesto hanya diboloti oleh kumpulan yang rapat dengan kalangan pemimpin tertentu.
Objektif mengadakan pilihan raya ialah menentukan barisan kepimpinan yang sedar akan tanggungjawab mereka dalam menentukan masa depan, kemajuan dan pembangunan negara.
Semua manifesto, dasar dan pembangunan negara, hak rakyat, dan pembaikan sistem ekonomi-sosial rakyat adalah penting tetapi menjadi sia-sia dan tidak berguna sekiranya pilihan raya gagal melahirkan barisan pemimpin bertrampilan, jujur, amanah dan cekap.
Jika urus tadbir tidak dijalankan dengan penuh komitmen, ditambah pula seluruh sistem pentadbiran disarati dengan barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral, tidak akan ada satu hal pun yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Jika selepas pilihan raya barisan pemimpin kebanyakannya dalam kalangan pencuri dan perompak politik, maka yang memenuhi kehidupan mereka dalam berhadapan dengan rakyat akan sentiasa disaluti dengan pembohongan, sandiwara dan kemunafikan.
Mengapa mereka yang mengatakan pembela Melayu tetapi masih ramai orang Melayu terus miskin, melarat dan keterbelakang dalam ekonomi dan moral?
Apa yang mereka bela sebenarnya?
Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus pada 2020 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada 2019.
Apa yang kerajaan lakukan bagi mengatasinya? Adakah diam membisu sahaja?
Mengapa banyak kes rasuah dalam kalangan pemimpin dan barisan kepimpinan kita?
Ini menunjukkan pilihan raya telah gagal melahirkan kepimpinan yang jujur dan amanah.
Sebagai pengundi, tentukan barisan kepimpinan dan pemimpin yang akan memandu negara kita ke arah pro rakyat, bukannya pro parti, kelompok atau kroni tertentu. Yang paling utama, pilih pemimpin bebas rasuah.
Jika tidak, pilihan raya yang diadakan ini adalah pilihan raya yang gagal.
Jika rakyat terus memilih barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral, ia akan membawa kepada kehancuran negara dan kesengsaraan kepada rakyat.
Saya ingin memetik pesanan Imam Abdul Rahman Al-Kawakibi tentang ketakutan pemimpin korup.
“Sepertimana pemimpin korup sangat takutkan rakyatnya apabila berpengetahuan kerana akhirnya rakyat yang berpengetahuan akan mengetahui hak-hak mereka yang sepatutnya si pemimpin melunaskannya.”
Pilihan raya kali ini adalah sangat kritikal dalam menentukan masa depan negara ini.
Kolumnis adalah pensyarah di Universiti Selangor (Unisel)
Baca juga: Ngeri! Remaja hilang sebelah paru-paru selepas tercampak daripada permainan ‘wave swinger’
Baca juga: Terpaksa jalan kaki sejauh 26km gara-gara LRT rosak, tapi sikap positif lelaki ini buat ramai kagum