Mat Sabu mulakan tugas Menteri Pertanian, beri jaminan akan fokus isu bekalan telur, ayam

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu telah memulakan tugasnya secara rasmi hari ini selepas sesi mengimbas kad perakam waktu di Wisma Tani, Putrajaya.

Dalam ucapannya kepada media hari ini, Mohamad berkata isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi fokus utama kementeriannya.

Pandangan itu selari dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bahawa kementerian pertanian di bawah Mohamad akan mengumumkan harga telur baharu yang lebih rendah esok.

“Ada beberapa langkah diambil yang diharap akan diumumkan oleh beliau (Mohamad) esok dengan harga lebih rendah kerana mengurangkan kebergantungan kepada kartel. Jadi, kita harap jumlah pengedaran telur dalam pasaran cukup dan harganya akan dikurangkan,” kata Anwar pada sidang media hari ini.

Mohamad di pejabatnya disambut Ketua Setiausaha, Datuk Haslina Abdul Hamid

Bagaimanapun sebelum merangka apa-apa perkara, Mohamad menjelaskan hal pertama yang akan dilakukannya adalah mendapatkan gambaran situasi sebenar melalui taklimat agar dapat mencari kaedah terbaik dalam soal keterjaminan bekalan makanan.

Mohamad berkata bahawa kementerian itu adalah lapangan baharu baginya kerana sebelum ini beliau menjadi Menteri Pertahanan yang lebih banyak bercakap soal keselamatan, namun kini ia terkait soal kehidupan harian dan keterjaminan makanan rakyat.

“Saya akan lihat mengenai harga makanan, terutama telur kerana golongan miskin sehingga atasan membeli telur di samping isu ikan dan ayam,” katanya.

Pagi ini beliau disambut Ketua Setiausaha, Datuk Haslina Abdul Hamid bersama-sama dengan barisan kepimpinan tertinggi Kementerian serta Ketua-ketua Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian.

Baca juga: Menteri Kabinet setuju gaji dipotong 20 peratus, Anwar juga tidak akan ambil gaji Menteri Kewangan

Baca juga: Sanggup jadi ‘jenazah’ demi anak-anak, Fazley dipuji ramai