Kesian lihat teman lelaki ditahan, wanita rugi lebih RM150,000 akibat ‘love scam’

Oleh KIM SYAZIE

Niat seorang wanita yang ingin membantu kekasih alam maya yang hanya dikenali melalui Facebook akhirnya membawa padah apabila dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM150,000.

Wanita berusia 44 tahun itu dikatakan telah membuat pemindahan wang kepada suspek melalui 27 transaksi sejak 10 Oktober hingga 5 Disember ke dua akaun berbeza bagi tujuan bayaran untuk menolong teman lelakinya itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili memaklumkan, suspek telah menghubungi mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp pada 8 Oktober lepas.

Suspek memberitahu wanita tersebut bahawa dia telah ditahan pihak Imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti banyak dan memerlukan bantuan.

Selepas membuat transaksi terakhir, wanita tersebut mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis, lapor Bernama.   

Walaupun sudah berulang kali perkara sama diingatkan, Zulkipli tetap menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan ‘love scam’ selain tidak mudah termakan dengan pujuk rayu daripada seseorang yang dikenali melalui media sosial.

Walaupun telah banyak info dan amaran diberikan mengenai ‘love scam’ tapi masih ramai lagi yang menjadi mangsa hanya kerana ‘kekasih’ yang tidak pernah ditemui yang menyebabkan kemarahan netizen.

“Berpuluh kali polis sudah mengingatkan,jangan tertipu oleh orang yang tidak dikenali,tapi tetap masih nak buat, tanggung sendiri akibatnya,” kata salah seorang pengguna Facebook.

“Letih sahaja pihak berkuasa bagi amaran tentang scammer, cara scammer nak scam mangsa dan selalu dikeluarkan dlm radio Tv dan media. Letih tau nak ingatkan orang setiap masa. Ada dapat berita tak pasti tanya kawan-kawan atau keluarga dan pihak berkaitan sebelum rugi banyak duit,” komen pengguna lain pula.

Baca juga: Isu Melayu Islam terancam dimainkan pembangkang sudah tidak logik

Baca juga: Guna medium TikTok untuk jernihkan kembali isu sentimen kaum, agama