Ringgit memulih selepas Anwar dilantik PM, petanda martabat Malaysia diangkat di mata dunia

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata martabat Malaysia semakin diangkat di mata dunia selepas kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memulihkan nilai mata wang ringgit Malaysia.

Pada Oktober lalu, ringgit merosot teruk dengan mencecah kepada RM4.73 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Selepas Anwar mengangkat sumpah untuk kerusi nombor 1 negara itu, ringgit mula meningkat dengan baik dan dilapor naik kepada RM4.42 berbanding dolar AS hari ini.

“Kerajaan Perpaduan seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri telah berikrar dan iltizam untuk menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan semua rakyat Malaysia serta mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.

“Ini telah pun berlaku. Kita lihat sebelum ini nilai mata wang ringgit berbanding dolar AS jatuh menjunam sampai ke tahap RM4.75.

“Tapi selepas Ahli Parlimen Tambun dilantik sebagai Perdana Menteri, nilai mata wang ringgit telah naik kepada RM4.42 hari ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menambah, kejayaan memulihkan mata wang Malaysia adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan, tetapi malangnya parti pembangkang tidak gemar melihat kepada fakta, sebaliknya hanya dengar retorik yang dianggap sesat.

Beliau turut berpendapat hanya Kerajaan Perpaduan dapat menyatupadukan semua rakyat di Malaysia selain melihat pentingnya untuk ada sebuah kerajaan yang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang seseorang.

Baca juga: Dewan Rakyat kecoh lepas Sany, Shahidan bertikam lidah ketika bahas usul percaya

Baca juga: Ramli, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat