Lebih separuh rakyat Malaysia berkahwin di Selatan Thailand berpangkat Datuk, ahli politik

Oleh KIM SYAZIE

Lebih separuh atau 50 peratus rakyat Malaysia yang berkahwin di sempadan Thailand adalah individu yang berpangkat Datuk, lapor New Straits Times.

Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Yusuf berkata, kedatangan pasangan dari Malaysia menunjukkan trend peningkatan terutama membabitkan orang kenamaan bergelar Datuk.

Tindakan mereka terdorong dari keengganan isteri pertama untuk memberikan keizinan berkahwin dua.

Sebelum pandemik Covid-19, kira-kira 100 lelaki Malaysia berkahwin di selatan Thailand setiap bulan. Selepas sempadan dibuka semula, angka itu meningkat di mana di Sungai Golok Sahaja ia bertambah sebanyak 40 hingga 70 rakyat Malaysia.

“Permintaan daripada lelaki Malaysia untuk berkahwin di Narathiwat semakin meningkat, terutamanya selepas sempadan dibuka semula dan tiada lagi sekatan perjalanan Covid-19,” katanya memetik NST.

Abdul Rahman Yusof memberitahu, rakyat Malaysia yang berkahwin di Thailand terdiri daripada rakyat biasa, penjawat awam dan ahli politik.

“Mereka datang daripada latar belakang yang berbeza antaranya daripada pekerja kolar biru biasa, kakitangan kerajaan dan VIP, termasuk mereka yang bergelar ‘Datuk’.

“Mereka memilih Narathiwat atau daerah kecil Sungai Golok untuk mengahwini isteri kedua atau ketiga tanpa pengetahuan pasangan mereka sekarang,” katanya.

Rahman juga memetik kes seorang ahli politik Malaysia yang telah mengikat tali perkahwinan dengan isteri ketiganya secara ‘dalam talian’ tahun lepas.

Rahman berkata walaupun Majlis Agama Islam Narathiwat tidak mempunyai masalah untuk melangsungkan perkahwinan rakyat Malaysia di wilayah itu, mereka perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Tambahnya, pasangan Malaysia biasanya akan memasuki Thailand melalui Rantau Panjang atau Pengkalan Kubor.

“Apabila mereka sudah menyeberang ke daerah kecil Sungai Golok di Thailand, mereka boleh bernikah hanya di Masjid Kedai Baru,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Agama Islam dan Agama Kelantan (JAHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh pula berkata, pasangan dari negeri itu yang berkahwin di Thailand perlu mendaftarkan perkahwinan mereka dengan pihak berkuasa agama Malaysia sejurus mereka pulang.

“Mereka perlu mengesahkan perkahwinan terlebih dahulu dengan mahkamah syariah bagi memastikan perkahwinan itu sah sebelum berdaftar dengan JAHEAIK.

“Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Baca juga: Guru di Terengganu didakwa kempen untuk Pas pada PRU15, sebar fitnah ‘murid dipaksa pakai skirt jika PH perintah’